Luar NegaraPencemaran

Pulau peranginan Ko Samet terancam tumpahan minyak

Paip bawah laut bocor

TENTERA laut dan pakar pencemaran di Thailand bertungkus-lumus membersihkan tumpahan minyak berdekatan sebuah pantai pelancongan terkemuka selepas berlaku kebocoran saluran paip bawah laut mengakibatkan hampir 50 tan minyak mentah terbuang.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand memberi amaran bahawa tumpahan minyak di Teluk Thailand, kira-kira 20 kilometer pesisir wilayah Rayong itu berupaya mengancam taman negara berdekatan pulau Ko Samet.

Arus lemah bagaimanapun berupaya memastikan tumpahan minyak berada jauh dari kawasan pesisir dan belum ada laporan mengenai impak terhadap kehidupan marin atau perusahaan makanan laut.

Star Petroleum Refining Public Company Limited syarikat yang mengendalikan operasi saluran paip minyak itu berkata, jumlah keseluruhan tumpahan minyak dijangka antara 20 hingga 50 tan.

Syarikat itu turut memaklumkan, penyelam mendapati terdapat kerosakan pada hos anjal yang membentuk sebahagian daripada peralatan saluran bawah laut itu dan menghubungkan pelampung untuk kegunaan kapal pengangkut.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand serta pakar lain dilaporkan sedang menilai jenis bahan pengurai untuk digunakan bagi mengawal tumpahan minyak itu, kata pegawai kerajaan pada sidang media bersama bersama Tentera Laut Thailand dan agensi berkaitan

Insiden sama pernah berlaku pada 2013 sehingga mencetuskan tumpahan minyak yang meliputi keseluruhan pantai Ko Samet, sekali gus menyaksikan usaha pemuliharaan terpaksa dibuat dengan menggunakan pakaian perlindungan bagi mencuci tanah pantai yang hitam. – SM

 

(Visited 265 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button