
Pulang Sehelai Sepinggang, Yassin Akhirnya Bersuara Lepas Ditahan di Jeddah
SELEPAS lebih enam bulan ‘hilang’ tanpa khabar, pelawak popular Yassin Yahya akhirnya bersuara — menceritakan kisah sebenar bagaimana dia boleh ditahan ketika menunaikan umrah di Arab Saudi.
Menurut Yassin, yang juga anggota kumpulan Senario, segala-galanya bermula apabila dia menerima tajaan menunaikan umrah bersama 24 lagi artis veteran, namun kurangnya ilmu serta persiapan menjadi punca dirinya ditahan.
“Saya memang teruja sebab ini kali pertama nak ke Tanah Suci. Emak pula kata baru je semalam doa supaya ada antara anaknya dapat pergi umrah. Saya rasa inilah masa yang sesuai.
“Tapi saya kelam kabut… kerja pun ada, tapi hati saya kuat nak pergi. Tak sempat langsung pergi kursus umrah, saya belajar semua dari YouTube je,” katanya menerusi podcast khas Darkcast bersama Saiful Apek.
Namun mimpi indah bertukar mimpi ngeri sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Jeddah.
“Saya bawa rokok kertas, grinder dan sekotak rokok dari lapangan terbang. Tapi masa pemeriksaan kastam, mereka nampak grinder tu dan terus tahan saya.
“Mereka buka beg, geledah barang, bawa saya masuk bilik, periksa badan… Saya dah mula cuak. Saya cuba jelaskan itu bukan dadah, tapi mereka tetap tak lepaskan. Saya siap minta buat ujian air kencing pun tak jalan,” jelasnya.
Lebih menyedihkan, Yassin dibawa ke balai polis, digari dan dimasukkan ke lokap khas untuk kes dadah.
“Saya tak dapat hubungi sesiapa. Telefon pun kena rampas. Saya sorang-sorang… tak faham bahasa mereka, mereka pun tak faham saya. Masa tu saya cuma mampu zikir dan doa saja.”
Yassin mengakui sepanjang berada di pusat tahanan warga asing, dia banyak bermuhasabah dan berpegang pada doa ibunya.
Kini selepas dibebaskan, Yassin akhirnya pulang ke tanah air — sehelai sepinggang, namun penuh rasa syukur.
“Saya reda… Allah nak ajar saya sesuatu. Bukan sebab dadah saya ditahan, tapi sebab benda kecil yang saya sendiri tak tahu boleh jadi isu besar di sana.”