Berita

Kayuhan MAIPs Peduli Khas – Ziarah Mahabbah MAIPs ke Krabi sempena sambutan 100 tahun MAIPs

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meluangkan masa menyertai program berbasikal ‘Kayuhan MAIPs Peduli Khas – Ziarah Mahabbah MAIPs ke Krabi Sempena Sambutan 100 Tahun MAIPs’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Bai Nainang yang terletak dalam wilayah Krabi di Thailand pada petang kelmarin.

Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyampaikan tazkirah kepada masyarakat setempat yang hadir beramai-ramai bagi menyambut keberangkatan tiba baginda di masjid kampung berkenaan sebelum bermulanya sesi kayuhan sejauh 14km.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Program melibatkan penyertaan 40 peserta ini adalah anjuran MAIPs dan Majlis Agama Islam Wilayah Krabi dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Thailand.

Selain menyantuni beberapa buah rumah asnaf terpilih di sepanjang laluan kayuhan bagi menyampaikan sumbangan daripada pihak MAIPs dan pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh doktor pengiring, baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan singgah di beberapa lokasi menarik di kawasan itu antaranya ialah tempat dilaksanakan industri madu lebah, pemeliharaan ketam dan juga pembiakan udang serta projek ‘Satu Kampung Satu Produk (OTOP)’ yang menghasilkan makanan kering di kampung berkenaan.

Baginda turut berkenan melepaskan ikan di Tasik Bai Nainang yang merupakan salah satu tarikan utama baru di situ dan menziarahi Sami di salah sebuah ‘Wat Buddha’ terkenal di situ bagi menyampaikan mesej salam perpaduan.

Difahamkan, antara yang menarik perhatian di dalam program berbasikal kali ini ialah kampung Ban Nainang ini adalah kampung yang terpilih untuk mewakili Krabi ke Peringkat Kebangsaan Thailand untuk pertandingan kampung yang termaju di dalam beberapa aspek seperti pertanian, perpaduan, kebersihan dan sebagainya.

Pada ketika kayuhan berlangsung, turut diadakan di masjid tersebut ialah demonstrasi ‘Masjid Tour’ yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasi One Centre Malaysia Perlis, Zamri Vinoth.

(Visited 308 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button