Ekonomi

Public Bank komited beri bantuan kewangan kepada pelanggan yang terjejas akibat Covid-19

PUBLIC Bank akan terus memberi sokongan penuh kepada para pelanggannya yang terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek.

Sehingga 30 September lepas, Public Bank telah memberi bantuan pinjaman balik bersasar yang fleksibel kepada lebih daripada 429,000 orang pelanggan dengan pinjaman berjumlah melebihi RM76 bilion.

Dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, Public Bank memahami terdapatnya pelanggan yang masih memerlukan bantuan dan komited untuk menyokong semua pelanggannya pada waktu mencabar ini.

Public Bank telah dan masih menyediakan bantuan kewangan, termasuk moratorium dan pembayaran balik bersasar, bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan bagi memenuhi keperluan kewangan mereka yang berubah.

Sepanjang moratorium pinjaman automatik selama enam bulan, yang bermula pada bulan April hingga September 2020, Public Bank juga telah menawarkan moratorium kepada kira-kira 1.5 juta orang pelanggan dengan pinjaman melebihi RM210 bilion.

Public Bank juga terus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan selain memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Selain daripada bantuan pembayaran balik, Public Bank juga telah meluluskan pembiayaan melebihi RM12.7 bilion kepada lebih daripada 50,000 buah PKS, sejak bermulanya pandemik itu, bagi memastikan akses PKS yang berterusan kepada pembiayaan penting meskipun dalam persekitaran operasi yang sukar.

Public Bank juga mengambil bahagian dalam pelbagai skim anjuran kerajaan dan Bank Negara Malaysia dengan amaun diluluskan berjumlah RM3.4 bilion yang telah membantu seramai 17,000 buah PKS.

Akses kepada pembiayaan oleh PKS mewujudkan lebih banyak pekerjaan, menyokong mata pencarian dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Sebagai salah sebuah pembiaya utama PKS dengan bahagian pasaran kira-kira 22%, Public Bank terus menyokong kuat usaha ini yang boleh dilihat melalui pertumbuhan tahunannya sebanyak 4.6% dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM68.3 bilion sehingga bulan Jun 2021.

Satu lagi aspek yang menjadi tumpuan Public Bank ialah membantu PKS dalam pembinaan kapasiti.

“Adalah penting PKS memahami asas perjalanan perniagaan, terutamanya pada waktu sukar seperti sekarang. Kami telah menganjurkan jerayawara untuk memaklumkan kepada mereka pilihan yang ada selagi pandemik ini masih tidak menentu,” katanya.

Public Bank juga telah menganjurkan jerayawara sebelum pandemik untuk memberi perkhidmatan penasihatan yang berkualiti serta menangani isu maklumat yang tidak seimbang yang dihadapi oleh PKS.

Selepas berjaya menarik minat komuniti PKS di seluruh negara, jerayawara tersebut membantu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai dana dan skim pembiayaan yang ada. Pandemik itu tidak menghalang jerayawara ini, yang biasanya dianjurkan di hotel.

Jerayawara yang dibuat secara maya telah menampakkan peningkatan dalam kehadiran PKS. Jerayawara berikutnya dijadual diadakan pada penghujung bulan Oktober 2021 untuk para pelanggan di Sabah dan Sarawak. PKS juga terus menerima tunjuk ajar  daripada Meja Bantuan PKS Bank dan PKS boleh menghubungi Bank melalui e-mel atau telefon.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web Bank di https://www.pbebank.com.

(Visited 372 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button