Ekonomi

Public Bank catat untung bersih RM4.28 bilion untuk sembilan bulan berakhir pada September 2021

PUBLIC Bank mengumumkan hari ini bahawa untuk sembilan bulan berakhir pada bulan September 2021,  Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.56 bilion dan untung bersih sebanyak RM4.28 bilion, disokong terutamanya oleh pemberian pinjaman dan pengambilan deposit yang
merupakan perniagaan terasnya.

Bagaimanapun, keadaan ekonomi semasa pada tahun 2021 terus mencabar berikutan pandemik COVID-19 yang berterusan. Pengenaan semula langkah-langkah pengekangan yang ketat pada suku ketiga tahun 2021 terus memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Bagi suku ketiga tahun 2021, untung bersih Kumpulan Public Bank merosot sebanyak 1.7% kepada RM1.36 billion berbanding dengan RM1.38 billion pada suku kedua tahun 2021.

“Pada waktu mencabar seperti ini, Kumpulan telah mengambil pelbagai usaha yang proaktif dalam strategi  perniagaannya dan memberi penekanan yang lebih terhadap pengurusan risiko dan produktiviti.

“Usaha ini telah membolehkan Kumpulan untuk terus menunjukkan keteguhan dalam prestasinya dengan mencatatkan pulangan ekuiti bersih sebanyak 12.4% dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 31.7% dalam sembilan bulan berakhir pada bulan September 2021,” kata Pengarah dan
Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow


Katanya, pinjaman dan deposit yang terus berkembang membolehkan pada akhir bulan September 2021, jumlah pemberian pinjaman oleh Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 3.0% kepada RM353.5 bilion.

Pemberian pinjaman domestik berkembang pada kadar tahunan sebanyak 2.8% kepada RM330.5 bilion.

Langkah-langkah pengekangan yang ketat itu terus mempengaruhi sentimen pelanggan, membawa kepada pertumbuhan pinjaman yang perlahan.

Dari segi pengambilan deposit, jumlah deposit pelanggan Kumpulan berkembang pada kadar tahunan sebanyak 4.8% kepada RM378.9 bilion, disokong terutamanya oleh deposit semasa dan simpanan berkos rendah yang berkembang pada kadar tahunan sebanyak 12.2%.

Dari segi domestik, jumlah deposit pelanggan berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.1% kepada RM350.5 bilion.

Teh berkata, “Kumpulan berupaya untuk mencapai pertumbuhan pinjaman dan deposit yang berterusan,  meskipun pada kadar sederhana. Pada akhir bulan September 2021, kedudukan pendanaan Kumpulan kekal stabil dengan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar sebanyak 79.7%.”

Pertumbuhan Berterusan dalam Pendapatan Bukan Faedah

Di tengah-tengah persekitaran operasi yang amat tidak menentu, pendapatan bukan faedah mencatatkan penurunan sebanyak 2.9% dalam sembilan bulan pertama tahun 2021, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pendapatan pelaburan.

Bagaimanapun, perniagaan unit amanah Kumpulan, berserta fi dan komisen dan pendapatan pertukaran asing terus menjana pertumbuhan pendapatan bukan faedah yang positif.

Teh menegaskan, “Perniagaan unit amanah Kumpulan Public Bank, yang diuruskan oleh subsidiari milik penuhnya, Public Mutual, mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak 25.5% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020. Pada akhir bulan September 2021, Public Mutual menguruskan
sejumlah 170 dana unit amanah dengan aset di bawah pengurusan berjumlah RM102.7 bilion dan terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 32.9%.”

Pengurusan Kos yang Cekap

Perbelanjaan overhed meningkat sebanyak 3.0%, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020.

Teh berkata, “Dengan cabaran yang semakin meningkat berikutan pandemik COVID-19, Kumpulan Public Bank  entiasa berwaspada dan terus menguruskan kos dengan cekap. Kumpulan sentiasa mengoptimumkan saluran
perbankannya, mempertingkatkan usaha-usaha pendigitalan dan memperkemas operasi perbankannya untuk memacu kecekapan kos serta menambah baik pengalaman pelanggan. Dalam sembilan bulan pertama tahun 2021, nisbah kos kepada pendapatan kekal stabil pada 31.7%, berbanding dengan nisbah kos kepada pendapatan industri perbankan domestik sebanyak 42.8%.”

Kualiti Aset yang Kukuh

Teh berkata, “Nisbah pinjaman terjejas kasar Kumpulan Public Bank kekal stabil pada 0.3% pada akhir bulan September 2021. Meskipun aset kualitinya teguh, Kumpulan sentiasa berwaspada dan memperkukuhkan lagi
peruntukan kerugian pinjaman t erdahulunya di tengah-tengah keadaan ekonomiyang mencabar pada masa ini.”

Pada akhir bulan September 2021, nisbah peruntukan kerugian pinjaman Kumpulan dicatatkan tinggi pada  20.8% berbanding dengan perlindungan kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 120.5%. Termasuk rizab pengawalseliaan sebanyak RM0.4 bilion yang telah diketepikan, nisbah perlindungan kerugian pinjamannya
adalah lebih tinggi sebanyak 358.5%.

Bantuan Pembayaran Balik Kira-kira RM81.9 Bilion untuk Lebih Daripada 435,000 Orang Pelanggan

Kumpulan Public Bank aktif dalam melaksanakan program bantuan pembayaran balik pinjaman untuk pelanggan yang berdepan dengan kekangan untuk membayar balik pinjaman sejak tercetusnya pandemik COVID-19 tahun lepas.

Bantuan ini termasuk pinjaman moratorium, serta Bantuan Pembayaran Balik Bersasar (TRA) dan bantuan Pembayaran Balik Bersasar Dilanjutkan (ETRA). TRA dan ETRA ditawarkan dalam pelbagai pakej yang fleksibel bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza dengan keadaan kewangan yang berubah-ubah.

Kumpulan juga proaktif dalam mempromosikan skim pembiayaan khas yang  dimulakan oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia, seperti Dana Bantuan Khas, Kemudahan Perusahaan Mikro serta Kemudahan Pemulihan dan Bantuan Bersasar, untuk membantu PKS yang memerlukan dana tambahan untuk perniagaan mereka walaupun semasa pandemik yang mencabar ini.

Teh berkata, “Kumpulan Public Bank menyedari bencana yang dibawa oleh pandemik COVID-19 dan menyokong sepenuhnya pelbagai inisiatif oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia untuk menangani kesan tersebut.  Komitmen kukuh Kumpulan untuk membantu para pelanggan yang terjejas oleh pandemik berkenaan, ditunjukkan melalui penyertaan proaktifnya baru-baru ini dalam menyediakan moratorium selama enam bulan di bawah PEMULIH, serta Pengurusan Kewangan AKPK dan Program Pengurusan dan Ketahanan (URUS).”

Pada akhir bulan Oktober 2021, kira-kira RM81.9 billion atau 25% daripada pinjaman domestik Kumpulan yang masih belum dijelaskan adalah di bawah Program Bantuan Pembayaran Balik, yang telah memanfaatkan 435,000 orang pelanggan.

 

(Visited 80 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button