Auto Travel

Tempahan CR-V generasi keenam dibuka – Honda Malaysia

Honda Malaysia membuka tempahan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditunggu-tunggu, ‘Comfortable Runabout Vehicle’ (CR-V) generasi keenam serba baharu di semua 101 pengedar seluruh negara.

Pelancaran CR-V serba baharu yang dijadualkan pada Disember ini akan membolehkan Honda Malaysia menutup 2023 dengan nota memberangsangkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, berkata CR-V mempunyai sejarah selama 20 tahun sebagai model pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) yang dikeluarkan dari kilang pembuatan di Melaka pada 2003.

“Dengan warisan yang bertapak dari pencapaian itu, SUV utama kami memberikan impak bermakna terhadap industri automotif di Malaysia, memenangi hati beberapa generasi pemilik.

“Sehingga hari ini, CR-V telah terjual lebih daripada 129,000 unit mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu penyumbang tertinggi Honda Malaysia kepada sejarah jualan kami.

“Dengan pelancaran CR-V serba baharu tidak lama lagi, kami menjangkakan penguasaan berterusannya dalam segmen SUV bukan nasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, dihasilkan dengan pakej SUV yang komprehensif, Honda Malaysia yakin bahawa CR-V generasi keenam serba baharu akan sekali lagi menepatkan penanda aras baharu dalam segmen SUV bukan nasional dan menawan hati rakyat Malaysia yang mahukan SUV elegan serta meyakinkan sambil memberikan pengalaman pemanduan hebat.

CR-V serba baharu menampilkan konsep baharu dan moden yang menawarkan sebuah SUV kepada rakyat Malaysia dengan reka bentuk canggih serta elegan.

Varian e:HEV RS menyerlahkan sentuhan lebih premium dengan penggayaan diperkemaskan di bahagian depan, menampilkan gril depan dengan corak ‘Mesh’ berani, lampu depan dan belakang LED sepenuhnya, lambu kabus depan LED dan lampu isyarat membelok LED berturutan.

CR-V e:HEV RS serba baharu turut didatangkan dengan pemegang pintu yang anggun dengan roda aloi 18 inci ‘Berlina Black’ yang menonjolkan lagi penampilan moden dan bergaya model berkenaan.

Karakter mantap bahagian luaran CR-V serba baharu meningkatkan lagi kehadiran model itu, menjadikannya benar-benar menonjol di atas jalan raya.

Melengkapkan fungsi reka bentuk luaran varian CR-V e:HEV RS adalah ‘Active Shutter Grille’, pertama seumpamanya bagi model itu yang meningkatkan aerodinamik dan kecekapan bahan api.

Ia mengawal secara pintar aliran udara dengan membuka dan menutup pengatup mengikut kelajuan kereta, suhu enjin dan keperluan penyejukan.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam segmen SUV, CR-V serba baharu dilengkapkan dengan sistem Honda SENSING dinaik taraf dengan radar dan kamera sudut luas selain sensor sonar bagi kawalan brek kelajuan rendah.

Sementara itu, teknologi bantuan pemandu kini mempunyai sembilan fungsi keselamatan Honda SENSING ditambah dengan ‘Adaptive Driving Beam’ eksklusif untuk e:HEV RS, pertama seumpamanya dalam sebuah model Honda oleh Honda Malaysia.

Honda Malaysia akan mengatur previu eksklusif di pengendar Honda terpilih untuk membolehkan pengguna merasai pemanduan CR-V serba baharu menjelang pelancarannya bulan depan.

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button