Ekonomi

Kempen kesedaran pencegahan rasuah di pengangkutan awam dilancar

MRT Corp juga lulus audit pensijilan semula ISO 37001 :2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah)

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn Bhd hari ini telah melancarkan Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah di Pengangkutan Awam.

Kempen ini merupakan usahasama antara SPRM dan MRT Corp untuk memupuk kesedaran pencegahan rasuah di dalam kalangan pengguna pengangkutan awam, di mana poster-poster kempen berbentuk cetakan dan digital di pamerkan di dalam tren dan stesen MRT selama empat bulan dan diikuti dengan cadangan balutan luaran badan tren (wrap) dijangka pada tahun hadapan 2022.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim telah menyempurnakan pelancaran kempen tersebut dalam satu majlis yang diadakan di Stesen MRT Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Turut hadir dalam majlis adalah Pengurus Besar Kanan Sirim QAS International Sdn Bhd Tuan Haji Mohd Hamim Imam Mustain, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS.

Dalam ucapannya, Azam berkata kerjasama yang dijalin dengan MRT Corp adalah salah satu usaha bagi memupuk kesedaran pencegahan rasuah dalam kalangan masyarakat Lembah Klang.

“Saya difahamkan setelah bermulanya Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara di Lembah Klang, dianggarkan seramai 50,000 orang menggunakan tren MRT untuk ke destinasi mereka setiap hari. Oleh itu, kita menjangkakan poster-poster yang dipamerkan ini dapat dilihat oleh 1.45 juta orang pengguna sebulan,” kata Azam.

Dalam ucapannya, Zarif merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM kerana telah memilih aset pengiklanan MRT Corp sebagai platform bagi kempen ini.

Beliau berkata kempen ini menggunakan 48 panel atas dan 48 panel dinding untuk memaparkan poster cetak di dalam tren MRT. Manakala di stesen pula, sebanyak 81 panel digital di stesen-stesen bawah tanah MRT Laluan Kajang mempamerkan poster-poster kempen tersebut.

“Integriti dan akauntabiliti adalah dua prinsip yang didukung di dalam MRT Corp. Oleh itu, MRT Corp amat bangga dan berbesar hati kerana dapat bersama SPRM dalam menjayakan Kempen Kesedaran Pencegahan Rasuah di Pengangkutan Awam, khususnya dengan menggunakan aset MRT,” kata Zarif.

Dalam majlis yang sama, Hamim telah menyampaikan kepada Zarif sijil Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (Anti-Bribery Management Systems, ABMS) (ISO 37001:2016) atas kejayaan MRT Corp dalam audit pensijilan semula.

“Syabas diucapkan kepada MRT Corp kerana telah lulus dalam pensijilan semula ABMS (ISO 37001:2016) dan juga di atas komitmen yang tinggi dalam memastikan ketelusan di dalam menjayakan projek-projek MRT yang melibatkan berbillion ringgit” kata Azam atas pensijilan semula tersebut.

Zarif berkata kempen ini juga telah membuka laluan bagi MRT Corp untuk memperluaskan liputan dan kesinambungan pensijilan ini dengan merangkumi orang awam, selain daripada Lembaga Pengarah and Barisan Kepimpinan MRT Corp serta kontraktor, vendor dan lain-lain.

Pensijilan semula telah dikendalikan oleh juruaudit SIRIM QAS International Sdn Bhd. MRT Corp telah lulus dalam audit pensijilan semula ABMS iaitu semenjak pensijilan yang diperolehi dari tahun 2018.

Sijil ABMS (ISO 37001:2016) menunjukkan bahawa sesebuah organisasi mempunyai proses untuk menghindari sebarang bentuk kos, risiko dan juga kemungkinan kerosakan yang mungkin berlaku andai berlakunya rasuah, secara tidak langsung memberikan kepercayaan dan jaminan kepada pihak berkepentingan dan rakan perniagaan iaitu organisasi tersebut bebas daripada elemen rasuah.

(Visited 1,128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button