Politik

PRU15: Sulaiman tunggu keputusan parti bertanding di Masjid Tanah

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menyerahkan kedudukannya kepada pucuk pimpinan parti sama ada ingin beliau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menegaskan perkara tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, sebagai ahli parti dia bersedia menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh parti.

“Saya ini orang semenda dalam politik kalau dipanggil datang disuruh pergi itu. Itu sahajalah.

“Sebagai orang politik, saya kasih dan cintakan kepada parti khususnya UMNO. Kalau itu disarankan oleh pucuk pimpinan parti dipanggil saya datang disuruh saya pergi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pertauliahan Peguam Syarie Melaka 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Seramai 137 peguam syarie menerima pertauliahan selepas masing-masing melepasi syarat yang telah ditetapkan undang-undang dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Ketua Hakim Syarie Melaka, Datuk Mohd. Nadzri Abdul Rahman.

Sulaiman diminta mengulaskan mengenai spekulasi yang hangat diperkatakan sejak sebelum pembubaran Parlimen ke-14 yang kononnya beliau bakal dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Masjid Tanah pada pilihan raya ini nanti.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai orang parti khususnya UMNO beliau akan menurut sapa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi kelak.

“Tidak kira mana-mana kerusilah, kerusi empuk ke kerusi tidak empuk mana-mana dipanggil saya akan datang,” ujarnya.

Ditanya jika beliau dicalonkan bertanding pada PRU15 adakah mungkin berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri katanya: “Tidak semestinya bertukar (Ketua Menteri) dan tidak semestinya berada di situ,” ujarnya lagi.

Sejak Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu keadaan politik negeri dianggap ‘tenang dalam gelora’ berikutan timbul dakwaan Ketua Menteri baharu akan dilantik menggantikan Sulaiman. – SM

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button