NasionalPolitik

PRU15: Sokongan rakyat jelas, Ismail Sabri yakin BN menang

PERUBAHAN sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian Sabtu semakin jelas dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon yakin gabungan ini bakal mencatat kemenangan sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tanda-tanda kemenangan sudah ada berdasarkan perubahan sokongan rakyat terhadap BN itu.

Katanya, ia boleh dilihat secara jelas sepanjang tempoh beberapa hari berkempen pada ketika ini.

Katanya, penerimaan berbeza juga boleh dilihat pada pilihan raya kali ini berbanding PRU14 lepas, yang bukan sahaja berlaku dalam kalangan pengundi Melayu mahupun pengundi bandar, tetapi turut melibatkan pengundi bukan Melayu.

“BN bertanding di 178 kerusi Parlimen, dan seperti yang selalu disebutkan oleh kepimpinan kita di peringkat UMNO dan BN, kita mesti dominan. Kalau kita dapat 80 atau 90 kerusi parlimen, lebih mudah untuk parti-parti lain bersama kita.

“Setakat hari ini, kita yakin kita boleh ‘cross’ (melepasi) 112 (kerusi parlimen). Kalau tanya adakah saya yakin boleh menang? Tentu sahaja saya jawab yakin,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di televisyen malam tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, strategi BN untuk menguasai kawasan panas dan kubu kuat pembangkang terutamanya di kawasan calon BN bertembung dengan calon ‘heavyweight’ pembangkang juga jelas menunjukkan keyakinan gabungan itu.

Beliau berkata, ini kerana BN yakin barisannya mampu menewaskan sesiapa sahaja termasuk nama besar daripada pembangkang.

“Kalau kita lihat di Parlimen Sungai Buloh, kekalahan BN waktu itu adalah lebih daripada 20,000 (majoriti). Waktu itu, calon bukan daripada UMNO sedangkan kawasan itu adalah kawasan majoriti Melayu.

“Ini merupakan suatu cabaran kepada orang Melayu yang meminta kerusi itu diberikan kepada UMNO. Apabila kita berikan kepada UMNO, maka tidak ada alasan lagi bagi mereka untuk merampas kerusi tersebut kerana mereka kata “kalau diberikan kepada UMNO, kita boleh memenanginya.

“Sebab itulah bagi kita, soal ‘nama besar’ mereka bukan menjadi halangan untuk kita bekerja kuat bagi memastikan kemenangan. Inilah yang saya sebutkan strategi dan keyakinan UMNO dalam memenangi satu-satu kerusi yang ditandingi,” ujar beliau.

Berbaki tiga hari lagi tempoh berkempen, Ismail Sabri berkata, BN akan lebih menumpukan kepada ‘produk’ dan tawaran kepada rakyat dalam usaha menarik lebih ramai sokongan lagi untuk membentuk kerajaan.

Katanya, ini kerana beliau percaya manifesto yang dikemukakan BN jauh lebih baik berbanding parti lain kerana sebahagian besarnya adalah daripada bajet yang sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lepas.

“Saya selalu menyebutkan bila kita bentang bajet sebagai manifesto kita, ia bukan janji kosong sebab sudah ‘budgetted for’. Semua yang kita bentangkan itu telah pun mempunyai dana yang mencukupi untuk dilaksanakan, cuma menunggu kepada kelulusan bajet sahaja.

“Manifesto kita bukan semata-mata yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita juga berpijak kepada janji nyata kerana semua yang telah dirancang mempunyai kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berpandangan, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan berhubung keperluan bergabung dengan mana-mana parti sekiranya tiada parti yang dapat memperoleh majoriti secukupnya untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Beliau bagaimanapun pasti BN akan bersama-sama menjemput parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bersedia bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah.

“Ini kerana bagi saya apa pun kita dapat, berapa banyak kerusi sekalipun, walaupun kita dapat 120 (atau) 130 (kerusi), kita mesti mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak. Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan,” jelasnya. – SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button