BeritaPendidikan

Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis berangkat santapan konvokesyen UniMAP

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Malam Sempena Istiadat Konvokesyen Ke-14 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diadakan di Dewan Warisan Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua yang juga merangkap Tuanku Canselor dan Tuanku Pro Canselor UniMAP disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta pengurusan tertinggi universiti.

Bersempena majlis tersebut, UniMAP turut memeterai beberapa perjanjian persefahaman dengan industri bagi membentuk pakatan strategik dan mengukuhkan lagi kerjasama melalui pembentukan jaringan yang proaktif bagi menghadapi ledakan arus perubahan teknologi yang berkait terus dengan Industri 4.0.

Sebanyak tujuh MoA, MoU dan Loi telah ditandatangani dengan tujuh organisasi manakala sembilan MoU dan MoA membabitkan lapan industri.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Badlishah memaklumkan bahawa sehingga kini usaha kolaborasi bersama industri telah berjaya menempatkan graduan UniMAP di pelbagai organisasi, di mana lebih 1,000 graduan kali ini sudah memiliki pekerjaan walau belum lagi menjalani istiadat konvokesyen.

Tambah beliau, berdasarkan pencapaian semasa Tracer Study SKPG1.0, peratusan graduan mendapat pekerjaan melebihi kadar 80% – saban tahun iaitu sekiranya diperincikan mengikut taraf pekerjaan, lebih 82 peratus adalah yang bekerja di industri atau swasta.

Menurut Naib Canselor berkenaan lagi, secara umumnya, data ini membuktikan graduan kejuruteraan UniMAP bekerja mengikut bidang yang diambil sewaktu di universiti dan antara bidang kejuruteraan yang mencatat kebolehpasaran tinggi adalah Teknologi Kejuruteraan, Kejuruteraan Alam Sekitar, dan Bahan.

Sementara itu, Badlishah memaklumkan bahawa tema majlis yang dipilih pada santapan pada kali ini pula ialah ‘Love & Happiness’ yang mana ianya adalah tidak lain tidak bukan selari dengan tema yang diperkenalkan oleh Menteri Pendidikan iaitu ‘Love, Happiness & Mutual Respect’.

Menurut beliau, ‘Love & Happiness’ adalah saling berkaitan serta saling melengkapi yang mana sekiranya kita mempunyai perasaan cinta atau ‘Love’ tetapi tiada kebahagiaan iaitu ‘Happiness’ maka sesuatu kehidupan itu tidak akan sempurna. Manakala ‘Mutual Respect’ secara tidak langsung akan lahir apabila elemen ‘Love & Happiness’ ini bersatu.

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button