AgamaNasionalNegeri

RCB serah zakat perniagaan RM945,934 kepada MAIPs

RURAL Capital Berhad (RCB) menyerahkan sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM945,934 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Hiruddin Hashim kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor yang disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Lumpur.

Hiruddin berkata, pihaknya berharap dengan pembayaran zakat itu akan dapat membantu golongan memerlukan.

Selain itu, katanya, ia dapat membina hubungan serta meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap RCB serta Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Syarikat korporat bukan sahaja perlu bersaing menyediakan perkhidmatan yang cekap dan produk bermutu, tetapi juga perlu menonjolkan sikap peduli terhadap mereka yang memerlukan melalui pengagihan keuntungan syarikat,” katanya pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini jumlah zakat perniagaan yang dikeluarkan oleh RCB dari 2016 hingga 2020 adalah sebanyak RM4.371 juta.

Beliau berkata, dengan pembayaran zakat ini juga membuka jalan kepada RCB untuk melaksanakan Tangggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi peruntukan Wakalah, yang mana sebahagian wang zakat dipulangkan kepada syarikat untuk disumbangkan kepada golongan asnaf oleh syarikat sendiri.

Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Adbul Manaf; Pengerusi MARA Corporation, Datuk Wira Othman Aziz; Pengerusi RCB, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani @ Abbas dan Pegawai Eksekutif MARA Corporation, Datuk Julainie Mohd Salleh.

RCB adalah syarikat subsidiari di bawah MARA Corporation, yang memberi fokus kepada empat teras perniagaan seperti Pengurusan Bayaran Balik Pinjaman, Perkhidmatan Pembiayaan, Digital-Based Solution (Penyelesaian Berasaskan Digital) dan Sokongan Perniagaan.

Mengulas lanjut, Hiruddin berkata, RCB dan MARA melaksanakan pelbagai aktiviti CSR untuk golongan asnaf di seluruh negara, tahun ini, dengan jumlah sumbangan sebanyak RM291,000.

Beliau berkata, antara program terbabit adalah Program MARA Prihatin Simfoni Ramadan 2022 di Perlis, Program CSR Ihya Ramadan Perdana di Sabah, Program CSR Bakul Makanan di Sarawak, dan Program Back to School 2022 di Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya, juga Program Prihatin Anak Asnaf dan Mualaf di Melaka, Program CSR Pendidikan @ Jerlun di Kedah dan Program Kelestarian Pendidikan Komuniti Orang Asli di Negeri Sembilan.

“RCB juga berhasrat untuk mewujudkan satu skim sumbangan modal permulaan perniagaan kepada golongan asnaf yang mempunyai keinginan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya. – SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button