Politik

PRU15: Julung kali Pas Perlis letak calon wanita

PAS Perlis buat pertama kali akan menurunkan seorang calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya berharap calon berusia 30-an itu yang bergiat dalam bidang guaman ini akan mampu menambat hati pengundi sekaligus memberikan kemenangan pada parti ini.

Bagaimanapun katanya, setakat ini masih belum dapat diumumkan nama calon wanita berkenaan dan diDUN mana yang akan beliau bertanding nanti.

Jelas, Mohd Shukri sebenarnya tiga wanita telah dipilih untuk menjadi calon Pas pada PRU15 kali ini.

“Pas sentiasa memberi peluang untuk kaum wanita bertanding dalam PRU, sayangnya dua daripadanya telah menarik diri,” katanya.

Mohd. Shukri berkata, Pas negeri ini juga telah memutuskan akan bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen.

“Kerusi DUN melibatkan Simpang Empat, Santan, Mata Ayer, Sena, Chuping, Beseri, Bintong, Guar Sanji dan Sanglang,” katanya.

Beliau berkata, dua calon Parlimen Pas pula di Arau dan Padang Besar.

Jelas Mohd Shukri, setakat ini semua calon Pas melibatkan pelbagai latar kerjaya antaranya seperti peguam, doktor dan juga usahawan.

Selain itu katanya, kebanyakan calon adalah muka baharu iaitu berusia 30-an dan 40-an di mana sekaligus bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan PAS.

Mohd. Shukri berkata, beliau juga sekali lagi dicalonkan untuk mempertahankan DUN Sanglang.

Sebelum ini telah dua penggal Mohd Shukri memenangi kerusi DUN ini.

“Saya juga berharap Pas dapat terus mempertahankan kerusi DUN Sanglang dan Guar Sanji,” katanya.

Katanya, selain itu Pas akan cuba menawan semula kerusi Simpang Empat dan Santan yang juga pernah dimenangi pada PRU sebelum ini.

Mohd Shukri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis berkata, pembahagian kerusi dua parti komponen Pas dan Bersatu di negeri itu juga telah ditetapkan.

Katanya, Bersatu bertanding di Parlimen Kangar dan enam kerusi DUN iaitu Kuala Perlis, Kayang, Titi Tinggi, Indera Kayangan, Pauh dan Tambun Tulang. – SM

(Visited 360 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button