Politik

PRU15: Bertanding mesti nak menang

DILETAKKAN sebagai calon di bawah Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk bertanding di Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sudah tentu beliau mahu menang di tempat Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari UMNO, Barisan Nasional (BN).

Kata Radzi yang juga Naib Presiden parti Bersatu, beliau perlu bersiap sedia dari awal untuk berhadapan dengan siapa sahaja calon lain dari parti lain yang akan bertanding di Putrajaya.

“Kita tunggu berapa penjuru yang akan menentang saya pada 19 November ini nanti. Memang sekarang, saya tidak dapat bayangan berapa penjurukah yang akan bertanding di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita usai Program Bicara Transformasi Pendidikan Bersama-Sama Komuniti di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ukay Perdana, Selangor, hari ini.


Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau faham denyut nadi pengundi di Putrajaya.

“Saya berada di sana selama empat tahun dan duduk berjiran dengan Datuk Seri Azmin Ali, saya duduk dalam komuniti Putrajaya.

“Saya tahu apakah cabarannya, apa yang paling penting ialah potensi Putrajaya cukup luas. Tahu dan faham perkara terdesak dan pengangkutan ialah perkara paling sering disebut-sebut penduduk Putrajaya,” ujar Radzi.

Sabtu depan, 5 November ialah hari penamaan calon PRU15 seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) manakala 15 November ialah hari mengundi awal dan 19 November, hari mengundi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hadir pada majlis yang sama berkata, sebagai tiga penggal menjadi Wakil Rakyat di Bukit Antarabangsa, beliau banyak memberi tumpuan kepada pembinaan prasarana.

Katanya, kawasan Bukit Antarabangsa ini luas, daerahnya, Gombak dan kawasan Parlimen adalah kawasan beliau.

Gombak Setia dan Parlimen Ampang lokasi Bukit Antarabangsa dan kata Azmin, kawasan yang luas ini mempunyai penduduk yang tinggi.

“Saya pentingkan sekolah dan pendidikan kerana ia amat penting dalam menentukan masa depan negara dan anak bangsa.

“Kita beri fokus dan tekad untuk pastikan anak-anak dapat akses pendidikan berkualiti dan cemerlang,” katanya.

Pembangunan yang dibawa oleh ADUN Bukit Antarabangsa yang juga juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak lepas pandang lokaliti Taman Melawati, Klang Gate dan Taman Melati yang mana kawasan-kawasan itu amat sinonim dengan Azmin.

“Dalam tempoh tiga penggal saya sebagai Wakil Rakyat, saya berusaha untuk membangunkan prasarana dan infrastruktur serta memastikan keperluan umat Islam seperti surau dan masjid dan agama-agama lain mendapat kemudahan yang selesa,” jelas beliau.

Perjuangan meningkatkan keperluan membina sekolah yang selesa yang merupakan keperluan mendesak, kata Azmin telah diusahakan oleh beliau sejak duduk dalam pembangkang.

“Sekolah penting dan sektor pendidikan berkait rapat dengan ekonomi negara. Akses kepada pengetahuan, berkualiti telah saya perjuangkan ketika masih di pihak pembangkang.

“Jalan raya atau infratruktur juga penting sebagai connectivity dengan lebuh raya kerana ia beri kemudahan lancar untuk aktiviti ekonomi daerah Gombak dan kemudahan pengangkutan juga diberikan perhatian,” katanya. – SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button