Politik

PRU-15: Barisan Nasional bakal mendapat mandat rakyat – Saarani

Wartawan Suara Merdeka

PAGOH 13 Mac – Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi memberi petanda jelas rakyat Malaysia memerlukan sebuah
kerajaan yang lebih stabil.

Sehubungan itu Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, Pilihan Raya Umum
Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan bagi memilih kerajaan Persekutuan yang lebih stabil ketika tempoh penggal
ke-14 sudah semakin hampir berakhir.

Tegas Pengerusi BN Perak itu lagi, kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang
membentuk kerajaan hasil perkongsian kuasa dengan beberapa parti lain itu dilihat boleh menarik sokongan
tersebut pada bila-bila masa.

Keadaan itu kata Menteri Besar Perak lagi ia boleh menyebabkan Perdana Menteri dan kerajaan yang diterajui
Ismail Sabri boleh jatuh serta hilang kuasa.

“Di Perak kerajaan negeri juga tidak stabil dan begitu juga keadaan yang terjadi di beberapa buah negeri
lain.

“Justeru adalah lebih baik PRU-15 diadakan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih stabil berbanding
sekarang. PRN Johor membuktikan bahawa rakyat mahukan perubahan itu.

“Kita dapat lihat dalam tempoh tiga tahun kita telah melihat tiga kali Perdana Menteri bertukar begitu
juga di Perak tiga kali bertukar Menteri Besar dan tiga kali bertukar Ketua Menteri di Melaka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Perak bagi PRN Johor di Kompleks Seri
Perkembar di sini malam tadi.

Menurut Saarani lagi, kejayaan di luar jangkaan apabila BN menang besar di Johor termasuk sebelum ini di
Melaka dan Sarawak membuktikan rakyat sudah kembali yakin terhadap parti itu untuk kembali memerintah
negara.

Jelasnya, berdasarkan kemenangan di tiga negeri tersebut BN dijangka akan kembali mendapat mandat daripada
rakyat untuk kembali semula membentuk kerajaan.

“Jika diadakan PRU-15 untuk memilih kerajaan Persekutuan yang baru saya yakin ia akan dipimpin kembali
oleh BN kerana kita boleh menjamin sebuah kerajaan yang kuat dan stabil,” ujarnya.

 

(Visited 382 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button