Politik

Provokasi murahan ‘Bubar Parlimen’ biadap tak kena tempat

Sepanjang di PRN Johor saya melihat sendiri bagaimana suasana perubahan politik, suasana beralihnya gelombang untuk memilih dan pelbagai luahan perasaan kecewa pelbagai segmen pengundi setelah tersalah pilih pada PRU 14 yang lalu. Akhirnya semalam dizahirkan atas kertas undi segala kekecewaan mereka.

Namun demikian ada insiden yang bagi saya jelas provokasi biadap dan kurang cerdik kepada YAB PM semalam dilakulan oleh segelintir pihak yang berkepentingan telah mencacatkan keharmonian dan ketertiban majlis.

Yang lebih kurang cantik lagi, mereka-mereka ini telah merosakkan imej Bangsa Johor yang sentiasa halus dalam menyantuni dan meraikan tetamu.

Saya amat faham soal ‘feel good factor’ dan usaha kesesuaian mendesak proses PRU 15 yang disebut-sebut sebelum ini.

Namun demikian dalam suasana rakyat Johor baru sahaja memilih dan belum lagi teruji khidmat-khidmat bakti YB-YB yang dipilih, telah dipaparkan kegelojohan sikap dan ketidaksabaran menuju PRU 15 yang tidak kena pada tempatnya.

Yang amat menyedihkan saya, sikap terjerit-jerit melakukan provokasi picisan terhadap PM ini dengan penuh bangga dirakam dan diviralkan. Konon-kononnya ada ‘mileage’ yang boleh dibanggakan kerana berjaya mendesak PM untuk segera dibubarkan parlimen.

Saya akui yang semasa ini kita memiliki ‘feel good factor’ dan dalam keadaan sekarang dan perlu bersikap ‘opportunist’ untuk merangka pelan perlaksanaan masa depan, tetapi bukanlah dengan paparan sedemikian kerana akhirnya nama buruk dan meluat orang lain pula yang kita undang.

Ada ruang dan medan yang lebih sesuai untuk dibincang dan di perhalusi perkara ini, maka bertindaklah dengan lebih cerdik.

Yang merisaukan saya, BN akan dilihat agak angkuh, gelojoh, sombong dan kurang cerdik memberikan gambaran persepsi menambat hati pengundi.

Jangan kerana ingin meraih ‘kredit dan mileage’ peribadi dari kepimpinan sehingga ada yang sanggup memaparkan kerendahan hati budi parti UMNO BN kepada masyarakat.

Kemenangan di PRN Johor bukan kerja satu orang sahaja, Ianya kerja keras berpasukan dan setiap orang itu memiliki keupayaan saling melengkapi kepada kekurangan yang ada dalam pasukan.

Perlu diingat setiap dari kudrat yang hadir dengan niat menyumbang bakti demi kemenangan BN itu selayaknya dihargai tanpa prejudis.

Ini bukan sikap bangsa Johor, ini bukan jatidir bangsa Johor yang sentiasa tertib dan lembut yang sentiasa menghormati sesiapa sahaja yang berbudi.

Namun dek kerana kedangkalan segelintir kumpulan kononnya atas modus operandi tertentu telah merosakkan reputasi ketertiban bangsa Johor.

Ada ruang dan medan yang sesuai untuk diperbincangkan hal bubar parlimen ini dan biarlah dengan penuh rasional ada asas yang diperhalusi dan yang lebih penting jangan sampai dilihat gelojoh dan membangkitkan rasa menyampah pengundi dan rakyat.

Pada saya, BN perlu ambil iktibar kesan PRU14 dan tambah baik setiap tindak tanduk kita dalam mendekati rakyat dan pengundi, khsususnya pengundi muda.

Perlu kita ingat yang kemenangan semalam bukan hanya kerana kita kuat dan kembali hebat, tetapi kerana banyak lagi faktor-faktor lain yang sedikit berpihak kepada kita dalam waktu yang kebetulan sesuai memenangkan kita.

Jangan leka, jangan sombong dan jangan riak dalam bertindak, rakyat dan pengundi sentiasa menilai dan memerhati dari semasa ke semasa.

Kita raikan yang muda kita hargai jasa yang lama. Ketertiban kita adalah cerminan kepada penentu kestabilan perintis pelapis pemimpin masa depan kita bersama.

Ini bukan soal mempertahankan pemimpin semata, tetapi ini soal prinsip mempertahan nilai keharmonian dan nama baik parti yang jangan sesekali dianggap murah.

Tulisan: Amin Shukor Damansara

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button