Politik

Pakatan Harapan akan bincang pengganti Maszlee – Lim Guan Eng

PAKATAN Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan bersama bagi mencari pengganti kepada Dr Maszlee Malik yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, adalah lebih baik perkara itu diadakan perbincangan terlebih dahulu kerana semua komponen parti dalam PH mempunyai pandangan masing-masing.

“Saya rasa lebih baik kita bincang bersama dalam Pakatan Harapan. Semua ada pandangan, biar kita bincang…itu lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian menaik taraf Blok 826 Kuarters Kastam Bagan Jermal, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan yang meminta pengganti Maszlee dilantik dalam kalangan ahli akademik untuk mengemudi kementerian itu.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa semalam dalam sidang media di pejabatnya di kementerian itu, pada Khamis.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung desas-desus yang menyatakan Datuk Seri Mustapa Mohamed antara nama yang disebut untuk menggantikan Maszlee, Guan Eng berkata, beliau tidak tahu berhubung perkara itu.

“Saya tidak tahu siapa yang akan dilantik kerana saya bukan Perdana Menteri… tetapi saya yakin ianya (pengganti) tentulah seseorang dari Pakatan Harapan,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, Guan Eng berkata, kuarters yang dibina pada tahun 1969 itu sudah tidak diduduki sejak 1990-an lagi kerana terdapat unit rumah dalam keadaan teruk.

Beliau berkata, kos pembaikan kuarters itu sebanyak RM438,000 dan kerajaan Pakatan Harapan akan terus komited untuk mengenalpasti serta membaiki unit-unit rumah sedemikian bagi tujuan keselesaan penghuninya. – BERNAMA

(Visited 178 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button