Mahkamah

Prosiding rayuan 33 ADUN Sabah bersambung hari ini

PROSIDING rayuan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bersambung hari ini di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Difahamkan prosiding tersebut dihakimi tiga hakim, diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bermula pada sebelah tengah hari tadi.

BERNAMA melaporkan, prosiding hari ini akan menyambung hujahan daripada peguam, Datuk Dr. Cyrus Das yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Mahkamah juga mendengar hujahan daripada peguam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Suzana Atan dan hujahan balas peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 ADUN Sabah.

Semalam, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan 33 ADUN Sabah untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pembubaran DUN oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menetapkan prosiding berkenaan disambung hari ini, Selasa (8 September) pada pukul 12 tengah hari.

Panel yang turut disertai Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian menetapkan tarikh berkenaan susulan mendengar hujahan daripada peguam Firoz Hussein dan Peguam Besar Negeri Sabah, Brenndon Keith Soh yang mewakili Tun Juhar.

Untuk rekod, pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak kes semakan kehakiman berhubung 33 wakil rakyat yang mencabar pembubaran DUN Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menolak permohonan 33 ADUN berkenaan menetapkan bahawa responden kedua dalam kes itu, Mohd Shafie telah bertindak menurut Perlembagaan Sabah dalam memohon responden pertama, Juhar membubarkan DUN.

Menurutnya, pengisytiharan pembubaran DUN itu juga adalah mengikut Perlembagaan dan sah.

Susulan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 September sebagai tarikh penamaan calon dan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. – SM

 

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button