Nasional

Dana RM1 bilion untuk basmi miskin tegar

DANA sebanyak RM1 bilion disediakan oleh kerajaan melalui Bajet 2022 bagi membantu keluarga miskin tegar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata agihan melalui peruntukan itu telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Oleh kerana kita tidak ada peruntukan khusus bagi menangani miskin tegar, keputusan sudah dibuat dan agihannya tertakluk kepada kelulusan Perdana Menteri.

“Jadi, agihannya ialah sebanyak RM500 juta untuk membiayai projek program membasmi miskin tegar di seluruh negara. Setiap negeri akan dikenal pasti berdasarkan lokaliti supaya usaha dijalankan lebih bersasar.

“Kita akan mengambil pendekatan holistik dan menyeluruh membabitkan agensi kerajaan Pusat, negeri, universiti, korporat, yayasan dan badan-badan lain, bagi melaksanakan usaha ini,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapa berkata, berbanding negeri lain, Sabah dan Sarawak akan mendapatkan jumlah peruntukan lebih, berdasarkan saiz negeri berkenaan yang besar bagi melaksanakan insiatif membasmi miskin tegar.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM350 juta diperuntuk bagi melaksanakan projek yang tidak tersenarai tahun depan, iaitu projek kritikal dan berimpak tinggi.

“Kita juga akan melaksanakan projek kecil berimpak tinggi, khususnya di kawasan FELDA. Semua ini agihan untuk tahun depan,” katanya.

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button