Ekonomi

Promosi masakan Perlis merentas lima benua, disaji 111 negara

KUALA LUMPUR: Inisiatif gastronomi bertaraf antarabangsa, ‘Perlis Food Promotion’ atau Promosi Masakan
Perlis, telah berjaya menjelajah lima benua, merentasi 38 negara dan 64 bandar serta disajikan di 111 buah restoran di seluruh dunia.

Program ini memperkenalkan citarasa autentik dan warisan kulinari unik dari Negeri Perlis kepada masyarakat global dari tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Pelancaran Buku ‘Perlis Food Promotion’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-42 yang berlangsung di Rerurai Dewan Bahada Dan Pustaka (DBP) World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Berangkat sama, anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri
Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Dr. Hazami Jahari, dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Buku istimewa ini diterbitkan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Negeri Perlis pada 17 April 2025, Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-82 pada 17 Mei 2025 yang lalu serta sempena 25 tahun perlantikan Baginda berdua sebagai Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis pada 12 Oktober 2025 ini.

Penerbitan ini juga turut menyokong kempen Promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024– 2025 yang kini sedang giat dijalankan dan akan diteruskan sehingga tahun 2026, sebagai kesinambungan bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Matlamat utama buku ini ialah untuk mengetengahkan kekayaan tradisi kulinari dan warisan masakan Negeri Perlis ke peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh identiti budaya tempatan melalui resepi dan sajian yang membangkitkan selera.

Penghasilan buku ini turut diinspirasikan daripada pengalaman luas Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines (MAS) bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah, yang berpusat di Zurich dari tahun 1998 hingga 2002 dan sebelum itu sebagai Pengurus Kawasan MAS bagi Sepanyol, Portugal dan Afrika Utara berpejabat di Madrid dari 1995-1998. Ketika itu, Baginda telah terlibat secara langsung dalam usaha memperkenalkan masakan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,
sekaligus mencetuskan ilham bagi penerbitan inisiatif ini.

Diterbitkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), buku ‘Perlis Food Promotion’ merupakan hasil kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Suara Merdeka, BMC Travel Sdn. Bhd, Mizza’s Kitchen Gial serta Sadariffa Enterprise.

Dengan pelancaran buku ini, Perlis kini bersedia mengukir nama sebagai destinasi kulinari melalui warisan rasa yang tidak ternilai.

Sebagai rekod, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sedang berlangsung dan telah bermula pada 23 Mei 2025 sehingga 1 Jun 2025. Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa berangkat melawat beberapa reruai buku di pesta buku tersebut.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button