NasionalUncategorized

Persediaan KKR, JKR hadapi musim peralihan monsun

Menurut laporan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, negara dijangkakan berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya pada bulan September 2023 dan dijangka akan memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan November 2023 sehingga Februari 2024.

Antara impak peralihan monsun ini ialah peningkatan sebanyak 20% hingga 40% daripada purata jumlah hujan jangka panjang.

Perubahan cuaca ini berkemungkinan memberi kesan terhadap infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan dan lebuhraya berikutan jangkaan peningkatan jumlah hujan.

Justeru, KementerianKerja Raya (KKR) dan agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersiap siaga bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekali gus keselamatan  pengguna dapat dipertingkatkan.

Ini selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, dimana JKR dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kenderaan dan tenaga kerja untuk kerja-kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana dan logistik pengangkutan.

JKR  juga berperanan menyediakan tempat berlindung sementara seperti kanopi atau khemah, menyediakan perkhidmatan teknikal dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan lain-lain seperti kejadian tanah runtuh dan kegagalan struktur bangunan atau tanah serta melaksanakan penilaian
kerosakan infrastruktur awam akibat bencana.

Sebanyak 2580 aset jentera (aset Persekutuan dan Negeri) seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok telah bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastuktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa.

Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR juga akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenalpasti tanda-tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.

Cerun-cerun yang berkategori Risiko Tinggi dan Sangat Tinggi yang dikenalpasti akan diberi perhatian serta kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan.

Sebanyak 35 bilangan stesen tolok hujan di cerun kritikal sepanjang Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia (Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor) telah diselenggara dan berfungsi dalam keadaan baik.

Had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Cerun JKR. Amaran melalui sistem pesanan ringkas akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai ambang sebagai amaran awal tanah runtuh.

Manakala untuk Sabah dan Sarawak, sebanyak 12 stesen tolok hujan sedang dalam permohonan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan.

KKR turut bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau ‘Bailey Bridge’, yang merupakan jambatan sementara yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimun 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

Jambatan ini merupakan antara aset penting di KKR yang terbukti berkesan dalam usaha kementerian mengambil tindakan pantas dalam berhadapan dengan situasi bencana alam.

Pada ketika ini, JKR mempunyai jumlah simpanan JPKB berkepanjangan 1960 kaki, yang disimpan di tujuh (7) stor penyimpanan di seluruh Semenanjung Malaysia meliputi zon utara, tengah, selatan dan timur iaitu di Alor Star  (Kedah), Kinta (Perak), Petaling (Selangor), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Johor Bahru (Johor), Temerloh
(Pahang) dan di Machang, (Kelantan).

Bagi aset jambatan dan pembetung pula, penyenggaraan rutin dilakukan mengikut jadual dan kitaran yang ditetapkan seperti pembersihan laluan air, tumbuh-tumbuhan, puing dalam pembetung, pemeriksaan pengesahan aset jambatan dan pembetung yang mengalami kerosakan/kegagalan, penyediaan cadangan pembaikan alternatif dan seterusnya melaksanakan kerja – kerja pembaikan segera.

JKR juga akan mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) bagi jalan raya yang terjejas akibat bencana  dengan melaksanakan penutupan jalan secepat mungkin bagi  memastikan keselamatan pengguna jalan raya, memberi amaran bencana kepada orang ramai, menyediakan laluan alternatif, membina lencongan jalan dan
melaksanakan kerja – kerja pembaikan atau pembinaan kekal (pasca bencana).

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana JKR di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia serta boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 03-26107559/7727.

BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan raya dibawah seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Malaysia. – SM

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button