Ekonomi

Projek mega tingkat daya tarikan global batik

Inisiatif baru untuk meningkatkan piawaian industri batik tempatan

Pakar seni Indah Atelier Sdn Bhd telah melancarkan sebuah projek mega batik pointilis yang mampu menaikkan taraf warisan negara itu di mata dunia.

Anak syarikat Moel Group of Companies tersebut melancarkan kempen “Malaysia in 100m of Batik Pointillism” (M100MBP) di Hotel Ritz-Carlton untuk menggalakkan pertumbuhan artisan batik tempatan. Selain itu, kempen itu juga bertujuan memupuk semangat nationalisme yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia serta mewujudkan rangkaian global yang dapat menghubungkan artisan batik dengan pakar fesyen antarabangsa.

Melalui kempen #myartisan yang merupakan sebahagian daripada projek mega M100MBP, inisiatif unik ini dijangka akan meningkatkan daya tarikan global batik serta merevolusikan industri batik tempatan.

Berucap pada pelancaran M100MBP, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Atelier, Mathumathi Manickvasagar Pilay berkata terdapat keperluan untuk menjana kreativiti dan inovasi dalam industri batik untuk meningkatkan permintaan dan menjamin pertumbuhan bidang seni kraf batik.

“Pemeliharaan batik perlu melangkaui status warisan negara. Kami ingin melihat seni halus ini diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Matlamat kami bukan setakat mempromosikan seni batik yang menjadi kebanggaan Malaysia, tetapi juga mempamerkannya di platform antarabangsa,” kata Mathumathi yang menambah bahawa syarikat beliau juga berminat untuk membawa batik ke arena fesyen antarabangsa.

Indah Atelier telah membina landasan yang kukuh di Dubai, India, London, Itali, Mesir, Hong Kong dan Singapura dan syarikat tersebut merancang untuk memanfaatkan kedudukan antarabangsanya untuk mempromosikan konsep serta produk seni dan kraf batik.

Kempen M100MBP pada umumnya akan menelusuri sejarah Malaysia dan menyentuh tentang pembentukkan serta pemulihan nilai tempatan.

Bermula dari Kesultanan Melayu Melaka serta pemerintahan Portugis dan Belanda, sehingga ke era penjajahan British dan Jepun, karya batik monokromatik yang bakal dihasilkan akan menggambarkan peredaran Malaysia dari zaman silam ke masa yang akan datang.  Karya ini juga dijangka dipamerkan di Balai Seni Negara dan Petronas Galleria.

(Visited 735 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button