Hiburan

She’s Gone tuah berterusan Denden Gonjales ke Search

DENDEN Gonjales nama yang tidak asing dalam kalangan peminat hiburan di Indonesia dan beliau dipilih sebagai penyanyi baharu kumpulan Search.

Pemilihan Denden, 38, adalah sebagai memenuhi projek kolaborasi antara Malaysia-Indonesia.

Di negara kelahirannya, Denden pernah bekerjasama dengan penyanyi popular Indonesia seperti Judika dan Inke Christie.

Beliau juga berjaya mencuri tumpuan dunia susulan aksinya di blind audition menerusi program The Voice Bulgaria.

Menerusi program hiburan itu, Denden berjaya memukau juri ketika beliau menyampaikan lagu berjudul She’s Gone nyanyian asal Steelheart.

Sementara itu, pemain gitar Search, Noordin Mohd. Taib berkata, kemampuan Denden menyampaikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan Search.

Malah, katanya, dengan usia Denden, Search yakin beliau boleh membawakan lagu-lagu Search denan baik dan usia Denden cukup sesuai untuk kemuncak prestasi.

Selain Noordin dan Kid kekal sebagai pemain gitar, Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman, ditugaskan sebagai pemain bass Search.

Sebenarnya, Yan bukanlah satu nama yang asing bagi Search kerana beliau pernah menganggotai kumpulan itu menerusi album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985.

Yan juga ada dalam album Rampage, Double Trouble (bersama Wings) dan Search 10 Tahun.

Noordin berkata, Yan bersetuju menyertai Search kerana keserasian bersama kumpulan ini.

“Yan serasi dengan Search dan dia sudah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika kami membuat persembahan di New Music Seminar di New York pada 1991,” kata Noordin.

Search juga mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram.

Sebelum ini, Pae adalah pemain dram undangan bagi menggantikan posisi Allahyarham Yazit Ahmad ketika beliau mula mengalami masalah kesihatan.

Search juga mengorak langkah lain dengan membuka kedai Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang memulakan operasi sejak 31 Disember lalu.

“Search Rock Station ialah kedai yang menjual barangan cenderamata rasmi Search seperti kemeja-T, kasut, topi dan merchandise lain.

“Di sini ada juga dijual alat muzik seperti gitar dan ada juga gitar saya dan Kid yang dipamerkan di situ,” kata Noordin.

Koleksi peribadi Noordin dan Kid juga ada dijual dan dipamerkan.

Dalam kenyataan yang sama, Noordin juga berkata, Search kini memiliki laman web rasmi iaitu www.fenomenasearch.com

“Laman web ini sebagai platform rasmi Search dan segala pengumuman, agenda, perjalanan Search, koleksi jualan dan berita muktakhir dimuatnaik di situ,” katanya.

Dalam masa yang sama, laman web rasmi itu juga menjadi laluan penghubung untuk segala urusniaga rasmi Search.

“Para pengikut setia Search, harap sabar menanti siapnya proses akaun media sosial rasmi kami iaitu Facebook, Instagram dan YouTube,” katanya. – SM

(Visited 403 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button