
Projek cendawan UniMAP bakal jana hasil lebih RM1.7 juta kepada golongan B40
Pauh Putra – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan ‘Projek Driven for Community (D4C) – Penanaman Cendawan’ menggunakan ‘sistem kelembapan optimum’ yang bernilai RM1,746,140 bagi tempoh 5 tahun yang melibatkan 24 orang peserta B40 di bawah Geran Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) 2020 Negeri Perlis.
Projek komuniti tertumpu ini turut dilaksanakan dengan kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang bertujuan meningkatkan pendapatan sampingan dan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan mencipta peluang pekerjaan terutamanya bagi golongan B40.
Pelaksanaan penanaman cendawan ini melibatkan beberapa pemilihan lokasi di Kangar, Padang Besar dan Arau. Kampung-Kampung yang terlibat adalah Kampung Wang Besar, Kampung Syed Omar, Kampung Chuping Titi Besi, Kampung Kok Klang, Kampung Padang Siding dan Kampung Ramai yang melibatkan seramai 24 orang peserta.
Projek ini juga telah berjaya menghasilkan beberapa produk yang berkualiti melalui pendekatan inovasi dan teknologi terkini termasuklah ‘Indera Mushroom’ atau cendawan segar, ‘Burger Cendawan’ sebagai ‘patty’ yang berasaskan sumber utama iaitu cendawan tiram dengan dua variasi iaitu 100% cendawan dan campuran 50% daging dan 50% cendawan serta penghasilan ‘Baja Kompos Organik’ menggunakan sisa bongkah cendawan yang di proses sebagai produk hiliran.
Koperasi Pengusaha Cendawan Perlis (D4C) Berhad telah ditubuhkan dan projek Pembuatan Bongkah Cendawan telah dilaksanakan di Kampung Kok Klang bagi memastikan kelestarian dan pengembangan projek tersebut.
Sebagai rekod, pada pusingan pertama hasil pengeluaran produk segar ini telah menghasilkan sebanyak 6000 kilo cendawan segar yang telah berjaya dituai dengan nilai RM60,000.
Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sempena lawatan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama UniMAP di sekitar Kampung Padang Siding baru-baru ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan mengadakan lawatan ke Tapak Tanaman Cendawan Asnaf di kampung tersebut dan menyantuni pengusaha-pengusaha projek ini serta tidak melepaskan peluang untuk memasak sendiri burger yang menggunakan ‘patty’ cendawan.
Lawatan MAIPs Peduli ini turut disertai oleh pengurusan tertinggi UniMAP, ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha menyantuni dan mendekati asnaf yang terpilih bagi tahun 2025.
Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Affendi Ahmad, 43 tahun dari Kampung Padang Siding, Ab Kadir Mat Din, 64 tahun juga dari kampung yang sama dan Nur Hidayatul Omar, 35 tahun dari Kampung Lalang, Ulu Pauh.
Setiap asnaf menerima sumbangan MAIPs secara tunai sebanyak RM 700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah.