Uncategorized

Program subsidi upah selamatkan 2.4 juta pekerjaan

PROGRAM Subsidi Upah, yang dilaksanakan kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk menangani impak Covid-19 ke atas ekonomi negara telah menyelamatkan 2.4 juta pekerjaan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata sehingga 19 Jun, sebanyak RM4.89 bilion telah diluluskan bagi 303,596 majikan yang memberi manfaat kepada lebih 2.4 juta pekerja.

“Walaupun kadar pengangguran Malaysia dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang, langkah-langkah di bawah PRIHATIN dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) disasarkan dapat membendung kadar pengangguran,” katanya ketika membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Kerajaan mengumumkan PRIHATIN bernilai RM260 bilion diikuti PENJANA bernilai RM35 bilion bagi tujuan menangani kesan wabak Covid-19 ke atas ekonomi negara.

Tengku Zafrul berkata kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada lima peratus pada April disebabkan oleh penutupan pelbagai sektor ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat untuk membendung wabak Covid-19 pada Mac dan April.

Beliau berkata sebagai perbandingan, kadar pengangguran terkini di Filipina adalah 17.7 peratus, India 23.5 peratus; Amerika Syarikat 13.3 peratus; China 5.9 peratus manakala pelbagai negara di Eropah juga mengalami kadar pengangguran dua angka.

“Menerusi program Subsidi Upah yang diperluas di bawah PENJANA, mulai 15 Jun, majikan boleh memohon subsidi upah untuk pekerja mereka yang diberi cuti tanpa gaji. Justeru, usaha ini, digandingkan dengan pembukaan hampir kesemua sektor ekonomi, kerajaan menyasarkan kadar ini bertambah baik terutama pada suku ketiga dan keempat tahun ini, insya-Allah,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sejajar dengan itu, pelbagai program peningkatan kemahiran melalui PENJANA juga bertujuan memelihara kapasiti tenaga kerja negara, agar sektor perniagaan boleh berkembang semula dengan kadar segera apabila ekonomi kembali pulih.

Menerusi PENJANA, RM2 bilion telah diperuntukkan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran bagi para belia dan penganggur, dan keutamaan akan diberikan kepada sektor elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi sekali gus memberi manfaat kepada lebih 200,000 individu, katanya.-BERNAMA

(Visited 344 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button