Nasional

Kerajaan percepatkan projek tebatan banjir

KERAJAAN akan menyegerakan proses pemberian tender bagi projek tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa beliau telah mengarahkan Perbendaharaan untuk mempercepatkan proses bagi meminimumkan impak banjir pada masa akan datang.

“Tetapi beberapa langkah segera telah diambil, kita sudah beli water jet (untuk tujuan pembersihan),” katanya sebelum turun padang meninjau kerja-kerja sukarelawan pasca banjir penjawat awam di Johor, di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan kerajaan akan tender semula enam projek tebatan banjir bermula Jun tahun ini.

Beliau berkata projek itu termasuk kerja tebatan banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, pembinaan takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Sungai Rasau, dan, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa 3.

Seramai 1,520 penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam usaha dua hari itu, yang memberi tumpuan kepada pembersihan di kemudahan perubatan dan pendidikan, bangunan kerajaan dan ruang awam lain.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan terbabit kerana turut serta dalam perkhidmatan di luar tugas mereka.

“Saya di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Usaha pasca banjir juga mencabar, jabatan sedia ada di Segamat atau Batu Pahat tidak dapat menyelesaikannya sendiri, melainkan dengan bantuan tambahan.

“Ketua Setiausaha Negara memaklumkan kepada saya bahawa ribuan sukarelawan penjawat awam sedang berkhidmat di luar tugas mereka. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan,” katanya.

Selain pembersihan, sukarelawan juga akan menyerahkan bakul makanan, peralatan pembersihan, keperluan asas sekolah, penyelenggaraan kenderaan kecil dan kerja elektrik, serta sokongan psikologi dan kaunseling.

Sebanyak 153 kenderaan terdiri daripada 26 bas, 16 van, lapan lori, 64 pacuan empat roda dan 39 kereta telah digerakkan untuk operasi ini. -SM

BACA JUGA : https://suaramerdeka.com.my/kwsp-jadi-permainan-politik-kerajaan-beri-rm500-untuk-pelaburan-masa-depan-anwar/

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button