Politik

Program Santai Bersama Menteri Agama hampir cetus pergaduhan

Wartawan Suara Merdeka

 

MUAR 5 Mac – Program Santai Bersama Menteri Agama di Desa Keroma Eco Reosrt, Kampung Keroma Laut, malam
tadi hampir mencetuskan pergaduhan.

Insiden berlaku sewaktu majlis yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Idris Ahmad
sedang berlangsung dikejutkan kehadiran enam kakitangan Penguatkuasa Kempen Pilihan SPR.

Dalam insiden berlaku kira-kira pukul 9.30 malam itu, salah seorang penguatkuasa memperkenalkan
diri sebagai Abbas daripada PP-KPR mewakili Barisan Nasional (BN) tetapi yang menjadi peliknya, beliau
memakai tag nama pengenalan Harlina Mohd. Nor.

Selepas memperkenalkan diri, lelaki berkenaan meminta program yang diadakan itu dibatalkan segera namun
dibantah oleh petugas Perikatan Nasional (PN) hingga berlaku pertelagahan.

Suara Merdeka difahamkan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Abbas itu adalah pencadang kepada calon
BN bagi kerusi DUN Maharani dan dilihat pada hari penamaan calon pada Sabtu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Rafiq Abdullah berkata,
beliau kesal bagaimana seorang penguatkuasa SPR yang memperkenalkan diri itu menggunakan pas milik petugas
lain.

Menurutnya, mujurlah salah seorang petugas PN ternampak foto dan nama pada pas yang dipakai oleh salah
seorang penguatkuasa itu bukan miliknya.

“Di sini timbul kekecohan dan pertikaman lidah, bagaimana seorang petugas SPR menggunakan pas nama orang
lain dan mengarahkan program yang telah mendapat kelulusan itu hendak dibatalkan.

“Insiden berlaku hampir 15 minit dan akhirnya berjaya diselesaikan apabila sepasukan anggota polis seramai
empat anggota datang dan berjaya meredakan keadaan sebelum kesemua penguatkuasa SPR meninggalkan majlis.

“Saya minta SPR pastikan mereka yang bertugas adalah orang memantau ceramah adalah mereka yang benar-benar
bertugas. Bila ada penguatkuasa menggunakan pas milik orang lain ini telah menimbulkan masalah,” ujarnya.

Justeru beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Muar oleh seorang petugas PN, Muhammad Haziq Zaharuddin kira-kira pukul 11.35 malam tadi.

Berdasarkan laporan yang dibuat, memaklumkan lelaki bernama Abbas itu telah memalsukan kad pengenalan PP-
KPR hingga berlakunya salah guna kuasa.

 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button