Luar Negara

Singapura catat dua lagi kematian akibat Covid-19

SINGAPURA yang mengesahkan 799 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam, melaporkan dua lagi kematian menjadikan jumlahnya 14 orang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan dua pesakit lelaki yang dilabelkan sebagai kes 1595 dan 9682 meninggal dunia semalam.

Kes 1595 berusia 82 tahun menghidap jangkitan COVID-19 pada 8 April manakala kes 9682, 81, pada 20 April.

Kedua-dua warga emas berkenaan merupakan penduduk tempatan, menurut kenyataan itu.

Setakat 12 tengah hari semalam, 1,095 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, manakala 20 lagi kritikal dan berada di unit rawatan rapi.

Dua hari lepas Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura melaporkan 931 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlahnya 13,624 kes.

Dalam satu kenyataan di sini, MOH memaklumkan peningkatan itu disumbangkan oleh majoriti kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja manakala hanya 15 kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap.

Daripada jumlah 12,693 kes, Singapura mengklasifikasi 10,525 kes dari asrama pekerja asing atau kira-kira tiga peratus daripada jumlah kira-kira 323,000 pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja.

Kementerian berkenaan memaklumkan ia masih mengkaji butiran kes berkenaan dan perkembangan terbaharu mengenainya akan diumum kemudian hari ini.

Dalam kenyataan terperinci yang dikeluarkan, MOH menyatakan ia mengesan banyak lagi kes susulan ujian yang meluas.

“Kebanyakan kes berkenaan melibatkan sakit ringan dan menerima pengawasan dalam fasiliti pengasingan komuniti atau wad umum di hospital. Tiada seorang pun daripada mereka menerima rawatan di unit rawatan rapi,” menurutnya.

MOH menyatakan daripada 618 kes baharu semalam, 81 peratus dikaitkan dengan kluster yang diketahui manakala yang lain masih menunggu pengesanan kontak.

Pada minggu lepas (18-24 April), kementerian mengesan pertalian bagi 1,226 kes yang sebelum ini dalam kes tidak dikaitkan.

Sementara itu, seramai 1,002 kes telah sembuh sepenuhnya dan dibenar pulang dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 24 dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi manakala 12 meninggal dunia.

Singapura mengenal pasti tujuh kluster baharu pada Sabtu, iaitu ASPRIWestlite Papan; Kian Teck Hostel; SCM Tuas Lodge; Northpoint City; 21, Defu South Street 1; 8, Martin Place; dan 107, West Coast Vale.

Kluster terbesar di Singapura ialah S11 Dormitory @ Punggol yang setakad ini mempunyai 2,268 kes disahkan positif COVID-19.

Daripada jumlah pada Sabtu, Singapura juga mengklasifikasi 1,135 sebagai kes komuniti, 569 kes import, dan 464 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak mendiami asrama.- BERNAMA

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button