NasionalNegeri

Program Kesedaran Halal platform terbaik kepada usahawan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, program Kesedaran Halal adalah platform terbaik kepada usahawan sebagai usaha ke arah memiliki sijil halal bagi produk masing-masing.

Baginda bertitah, menerusi program ini membolehkan mereka untuk memahami dengan lebih jelas proses bagi mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Tambahan pula kini pensijilan halal adalah penting terhadap sektor perniagaan di Malaysia dan juga antarabangsa,” titah Baginda semasa berkenan merasmikan program Kesedaran Halal:”Mudahnya Pensijilan Halal Malaysia” di Dewan Warisan, Kangar hari ini.

Baginda juga turut berkenan melancarkan “1 Produk, 1 Halal” Peringkat Negeri Perlis.

Program ini dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Selain itu mendapat kerjasama agensi negeri dan juga Persekutuan khususnya JAKIM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Hadir sama Exco Agama Negeri, Muhammad Azmir Azizan, Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Nor dan Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim.

Raja Muda bertitah, bagi meningkatkan lagi mutu produk halal seiring dengan syariat Islam untuk dinikmati oleh seluruh masyarakat, para usahawan di negeri ini dan seluruh negara amnya mestilah memperoleh sijil halal bagi setiap produk atau ‘1 produk, 1 halal’.

Selain itu titah Baginda, mutu dan kualiti standard pensijilan mestilah diperkasakan dan pengurusan agensi halal Negeri Perlis hendaklah menjadi ‘penanda aras’ kepada agensi-agensi halal yang lain.

“Pengauditan halal mestilah bersifat menyeluruh dan komprehensif dalam semua aspek termasuklah dari sudut keselamatan makanan itu sendiri,” titah Baginda.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, buat pegawai dan kakitangan yang terlibat, mereka perlulah diberikan pendedahan dengan syarikat-syarikat dan industri di luar negara dan dilibatkan secara langsung dengan penarafan pensijilan halal di peringkat antarabangsa. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button