Nasional

Muafakat Nasional perkenalkan sekolah politik, khusus buat generasi muda Malaysia

Muafakat Nasional (MN) yang secara rasmi memperkenalkan diri sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan tampil dengan projek sekolah politik yang dikhususkan buat generasi muda Malaysia.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, menerusi sekolah politik yang juga dikenali sebagai sekolah memahami pengurusan negara, generasi muda Malaysia akan didedahkan dengan banyak perkara penting.

“Dalam sekolah memahami pengurusan negara, ia akan disampaikan menerusi pakar-pakar mengenai demokrasi, perlembagaan, asas penubuhan negara, kontrak sosial dan hal ehwal semasa negara.

“Itu antara perkara yang kita harap dapatkan sampaikan secara sistematik,” katanya dalam satu sidang media selepas mengumumkan 30 senarai nama yang menjadi Majlis Tertinggi MN.

Dalam pada itu, Annuar Musa turut melihat dirinya akan jadi lebih sibuk biarpun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam UMNO mahu pun Barisan Nasional (BN).

“Jadi dengan perkara itu InsyaAllah saya akan cukup sibuk sebagai orang tanpa parti. Saya rasa tugasan yang ada dihadapan saya dan kawan-kawan juga cukup banyak.

“Saya harap mereka yang 30 ini dapat membantu saya untuk mengambil tindakan-tindakan aktiviti tetapi sekali lagi saya katakan dalam bentuk positif, kita bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut tentang kenyataan sedia bekerja sama dengan Kerajaan, Annuar melihat MN berpeluang untuk mengorak langkah lebih jauh kerana MN juga turut sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti politik, kedua-dua belah parti sama ada kerajaan mahu pun pembangkang.

“Dan yang penting sekali juga MN akan menerima keahlian daripada NGO-NGO sebagai ahli bersekutu dan kita akan menganjurkan sesi meja bulat dengan ketua-ketua persatuan dan organisasi untuk kita menyumbang dalam aspek-apsek tertentu dari semasa ke semasa,” ujarnya.

 

(Visited 237 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button