Nasional

Penggunaan kalimah Allah terhad di Sarawak, untuk penerbitan bahan agama Kristian – Anwar

KEBENARAN penggunaan kalimah Allah hanya untuk penganut Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Ia hanya terpakai untuk negeri itu dan tidak di negeri-negeri lain, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu sudah diberi penjelasan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Penjelasan itu susulan gesaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam semalam supaya KDN memberi penjelasan berhubung keputusan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan bahan agama lain.

Malah Anwar memberi jaminan kerajaan kekal komited mempertahankan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan institusi Raja, khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Sarawak, kita faham dulu tak terikat dengan keputusan negeri-negeri, ia tak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor, tak boleh.

“Ini (penggunaan kalimah Allah) khusus untuk Sarawak yang kita dah kalah dalam kes awal kerana di Sarawak, memang diputuskan oleh negeri sebegitu rupa, kita kena faham,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan MADANI Anjuran Pertubuhan Prihatin Anak Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanjung Minyak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Sebelum itu di Putrajaya, Saifuddin Nasution menjelaskan, keputusan KDN tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland lawan Kerajaan Malaysia disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.

Katanya, isu terbabit adalah berkaitan rampasan bahan penerbitan pada ketika itu dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.

Ahad lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah Allah dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 membenarkan permohonan semakan kehakiman wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. – SM

(Visited 227 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button