
Program AI TEACH Buka Peluang Digital Untuk Mahasiswa B40
GOLONGAN belia dari keluarga B40 kini mendapat peluang baharu untuk menguasai kemahiran digital melalui pelancaran program MCMC-Microsoft AI TEACH yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini. Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Microsoft Malaysia serta rakan strategik USM itu menyasarkan 150 pelajar penerima inisiatif Siswa Sulung.
Inisiatif Siswa Sulung merupakan program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi tumpuan kepada pelajar generasi pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Matlamatnya adalah untuk memutuskan rantaian kemiskinan melalui pendidikan dan penguasaan kemahiran masa depan.

Pemilihan peserta dibuat secara teliti berdasarkan beberapa kriteria seperti status pendapatan isi rumah (kategori B40), latar belakang sosioekonomi dan kemampuan pemilikan aset oleh ibu bapa.
Program AI TEACH ini merupakan modul Pengajian dan Persijilan (P&P) yang memberi pendedahan kepada konsep dan aplikasi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk AI generatif, penggunaan AI untuk meningkatkan kebolehpasaran diri serta pendekatan etika dalam teknologi. Pendekatan ini dirangka untuk melahirkan graduan yang celik teknologi dan bersedia menyahut cabaran dalam dunia ekonomi digital.
Majlis pelancaran program di Dewan Pembangunan Siswa, Kompleks Cahaya Siswa, USM telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Sektor Pembangunan Industri MCMC, Tuan Haji Muhammad Razali Anuar; Pengarah Negeri MCMC Pulau Pinang, Encik Mohd Fitri Hashim; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Encik Shukeri A. Rahaman; Pegawai Tadbir PERKESO Georgetown, Cik Nurul Atikah Samelan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Biji-biji Initiative, Encik Rashvin Pal Singh.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dan Microsoft Malaysia dalam membangunkan ekosistem pembelajaran digital yang inklusif, selain memperkasa rakyat Malaysia agar bersedia menyertai dan menyumbang dalam ekonomi berasaskan teknologi serta AI pada masa depan.