EkonomiTravel

Andalusia beroperasi sepenuhnya bermula esok

PENGENDALI pakej ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd akan membuka semula operasi mereka di semua 43 cawangan di seluruh negara kepada orang ramai bermula esok.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris berkata, pembukaan semula operasi syarikat tersebut yang ditutup sejak pandemik Covid-19 melanda Mac tahun lalu selaras dengan kebenaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan.

Ida Riswana

Menurutnya, pengoperasian itu juga sebagai persediaan pembukaan semula sempadan negara yang dijangka akan dilakukan selewat-lewatnya pada 1 Disember ini.

Tambah beliau, pembukaan pejabat Andalusia itu membolehkan orang ramai terumama mereka yang tertangguh mengerjakan ibadah umrah sejak Februari tahun lalu untuk berurusan.

“Sangat ramai yang tanya bila boleh mengerjakan umrah terutama mereka yang tertangguh sejak Februari tahun lepas.

“Kita ada dalam 11,000 orang yang masih lagi tertangguh. Mereka inilah yang antaranya selalu bertanya bila akan buka sempadan negara,” kata Riswana ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Orang ramai yang mahu berurusan di pejabat Andalusia perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Sekiranya orang ramai ingat membuat tempahan untuk mengerjakan umrah boleh melakukannya secara dalam talian tanpa dikenakan sebarang bayaran deposit.

“Andalusia ini sudah bersiap sedia dengan pakej-pakej, kita cuma kita tidak boleh lagi nak umum sehingga pembukaan semula sempadan dimaklumkan.

“Kita tidak ambil duit lagi sehingga betul-betul kerajaan kata boleh buka sempadan baru kita boleh buat kutipan bayaran untuk pendaftaran,” katanya.

Tegas beliau, kerjasama daripada jemaah amat diperlukan apabila kebenarkan untuk mengerjakan ibadah umrah diberikan oleh kerajaan.

Ini kerana faktor kesihatan bebas Covid-19 akan menjadi penentu seseorang dibenarkan keluar negara.

“Dua minggu sebelum pergi jemaah perlu bersiap sedia menjaga diri dengan mengawal daripada bergaul dengan ramai orang, jaga SOP. Jaga imuniti diri, jaga kesihatan supaya tidak tergendala.

“Kerana 72 jam sebelum berangkat ke tanah suci jemaah perlu melakukan ujian Covid-19. Kita mahu mereka betul-betul jaga diri dua minggu sebelum bertolak. Jangan jadi macam dulu nak ada kenduri, itu ini. Bercampur gaul dengan ramai orang.

“Kita tidak mahu sebelum berangkat positif Covid. Persediaan sudah buat. Ia bakal menimbulkan banyak masalah. Jika kita betul-betul jaga diri dua minggu sebelum berangkat, insya-Allah semuanya akan lancar seperti yang dirancangkan dan selamat pergi dan pulang,” katanya.

Riswana berkata, ibadah umrah yang akan dilalui jemaah tidak sama dengan situasi sebelum pandemik itu melanda.

Menurut beliau, Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan setiap jemaah melakukan sekali sahaja ibadah umrah malah untuk masuk ke dalam Masjidil Haram untuk solat lima waktu juga memerlukan permit.

“Kalau dulu boleh buat umrah berkali-kali. Habis yang wajib boleh ulang lagi. Sekarang ini tidak boleh. Sekali sahaja umrah. Jadi umrah itu sangat-sangat berharga.

“Nak solat di Masjidil Haram pun perlu ada permit melalui aplikasi Kerajaan Arab Saudi, Tawakalna. Kalau melalui visa umrah, muasasah kita akan mohonkan permit untuk jemaah.

“Tidak dijanjikan solat lima waktu sehari di Masjidil Haram. Sebabnya, akan ikut slot yang ada,” kata beliau.

Bagaimanapun menurut Riswana, tiada peraturan ketat di Masjid Nabawi, Madinah.

Andalusia menjangkakan 32,000 akan mengikuti pakej umrah yang disediakan syarikat itu sehingga akhir musim pada Syawal atau Mei tahun depan.-SM

 

(Visited 821 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button