NasionalPendidikan

Professional Mutawwif Development International College lahirkan Mutawwif profesional

SEBANYAK 140 pelajar yang  mengikuti Diploma Pengurusan Mutawwif Umrah dan di Professional Mutawwif Development International College (PMDIC), Kampus Universiti Teknologi Mara (UITM) di Kota Samarahan, Sarawak akan mengikuti bengkel pelatih dan pegawai pengiring di Mekah dan Madinah, hari ini.

Bengkel jangka pendek selama empat bulan ini sebagai melengkapkan pengajian Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah & Ziarah dan merupakan satu-satunya jurusan PERTAMA di Malaysia dan PERTAMA di Dunia.

Pengarah Urusan Profesional Mutawwif Development International College, Ustaz Abd Halim Ikhsan berkata, jurusan ini akan melahirkan graduan yang tumpuan kepada kerjaya Mutawwif Professional.

“Dan ia adalah program yang mewajibkan para pelatih untuk menduduki bengkel di Mekah dan Madinah meningkatkan lagi pengalaman sebenar sebelum mereka bergelar seorang Mutawwif yang professional,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, melalui program ini, pelatih akan mewarnai dan memberi sumbangan terbesar dalam Industri umrah khususnya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.

Katanya lagi, sepanjang bengkel, pelatih akan melakukan sendiri urusan-urusan yang melibatkan kerja-kerja di lapangan.

“Kerja di lapangan seperti melakukan sendiri urusan taklimat perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), urusan daftar masuk bagasi di KLIA sehinggalah kepada urusan daftar masuk hotel.

“Mereka juga akan melakukan sendiri urusan imigresen, ziarah dalaman di Madinah, ziarah luaran Madinah, ziarah luaran Mekah dan segala urusan yang melibatkan ibadah umrah dan lain-lain urusan,” ujar beliau.

Cabaran yang dihadapi pelatih untuk bengkel yang julung-julung kali diadakan ini, kata Ustaz Halim ialah pelatih-pelatih tidak berpengalaman ke Mekah dan Madinah.

“Mereka akan berhadapan dengan keadaan norma baharu tetapi dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari selama lebih satu tahun di PMDIC kampus UiTM Samarahan, mudah-mudahan dapat membantu para pelatih mengikuti bengkel dengan cemerlang seperti yang diharapkan,” katanya.

Tambah beliau, skop pembelajaran juga diperluaskan dengan menambah subjek Pegurusan Pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad dengan hanya boleh membawa jemaah ke Mekah dan Madinah sahaja.

“Apabila ada subjek tambahan ini, para pelatih nanti bolehlah bekerja sebagai Muslim Tour Leader iaitu membawa pelancong melancong keseluruh dunia melalui pakej pelancongan Muslim,” jelas beliau.

Untuk makluman, program ini turut didedahkan dengan subjek asas Keusahawanan dalam menyediakan pakej atau penjualan produk, TITAS, asas Bahasa Arab serta subjek asas Bahasa Inggeris.

Program ini juga bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam untuk memantapkan lagi pengajian sepanjang di PMDIC.

“Melalui konsep asas dan teori yang dipraktikan oleh pelatih, nescaya pengalaman ini mampu meningkatkan lagi mutu kebolehpasaran graduan melalui peluang kerjaya dalam bidang mutawwif yang professional dan lebih terancang,” katanya.

Beliau berkata, tahun depan, seramai 500 pelatih dari PMDIC kampus UiTM Mukah, PMDIC kampus UiTM Melaka, PMDIC kampus SiDMA Kuching, PMDIC kampus SiDMA Sabah, PMDIC kampus UTHM, PMDIC kampus UPSI dan PMDIC kampus UCYP akan berangkat ke Mekah dan Madinah melalyi Travel Agensi bagi melaksanakan bengkel di sana.

“Tahun hadapan, PMDIC juga merancang untuk melebarkan sayap ke beberapa negara ASEAN antaranya Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya. – SM

(Visited 765 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button