Nasional

Prof. Zakri Duta dan Penasihat Sains bagi Kempen Alam Semulajadi

PENULARAN wabak  COVID-19 yang semakin meruncing dan telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia kini menuntut masyarakat antarabangsa bertindak secara proaktif menangani pandemik berkenaan.

Menurut Laporan Intergovernmental Panel on Biodiversity and Ecosystem Services (IPBES), pada tahun 2019 menunjukkan, besar kemungkinan wabak coronavirus seperti COVID-19 turut berpunca daripada kegiatan manusia yang telah mengganggu-gugat habitat hidupan liar.

Tindakan mereka itu dikatakan telah membebaskan virus yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Menyedari perkara tersebut, Wyss Campaign for Nature (WCN) dan National Geographic Society (NGS) yang beribu pejabat di Washington DC, Amerika Syarikat telah bekerjasama menggerakkan kempen berskala besar peringkat global yang dikenali sebagai Kempen Alam Semulajadi (Campaign for Nature).

Bagi melancarkan lagi kempen berkenaan, WCN dan NGS telah melantik bekas Penasihat Sains Perdana Menteri, Prof. Tan Sri Zakri Abdul Hamid sebagai Duta dan Penasihat Sains bagi program berkenaan.

Kempen yang telah disokong oleh lebih 100 pertubuhan pemuliharaan alam sekitar terkemuka dunia itu bertujuan menggalakkan ketua-ketua negara menyokong program memulihara alam semula jadi berasaskan bukti-bukti saintifik secara besar-besaran.

Mengulas lanjut tentang pelantikan tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Datuk Dr. Mohd Yusoff Sulaiman berkata, pelantikan ini adalah yang terbaharu diterima oleh  Zakri sepanjang khidmat cemerlang beliau di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.

Antara anugerah yang pernah diterima oleh Zakri termasuklah Midori Biodiversity Prize (2018), ASEAN Biodiversity Hero (2017) dan Anugerah Merdeka (2015).

Zakri yang merupakan Ahli Bersekutu Kanan MIGHT pernah menyandang jawatan Pengerusi Bersama organisasi tersebut.

Beliau kini merupakan Pengerusi Atri Advisory, sebuah syarikat perunding yang menasihati kerajaan, badan antarabangsa dan sektor swasta mengenai pembangunan lestari serta pemuliharaan kepelbagaian bio (biodiversity).

“Zakri telah memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan urus tadbir sains di negara ini dan beliau juga terkenal sebagai pemimpin sains di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang kepelbagaian biologi,” ujarnya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan,  Pengarah Campaign for Nature, Brian O’Donnell menerangkan, Zakri dipelawa untuk menyertai kempen berkenaan kerana kewibawaan beliau memegang pelbagai jawatan utama dan pengalaman yang meluas dalam bidang tersebut.

Zakri sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi dan Pengasas IPBES yang dianggotai 134 buah negara, memiliki pengalaman sebagai Ahli Lembaga Penasihat Sains, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon.

Berdasarkan laporan IPBES tahun 2019 yang dimulakan semasa Zakri menjadi Pengerusinya, menunjukkan bahawa hampir satu juta spesies diancam kepupusan dan adalah menjadi tanggungjawab semua kerajaan di seluruh dunia untuk mengambil langkah-langkah berani melindungi alam semula jadi.

Sementara itu, Zakri memberitahu, pengiktirafan tersebut bukanlah bersifat peribadi tetapi ia lebih kepada bagaimana dunia melihat Malaysia menguruskan sumber semula jadinya dengan bijaksana.

“Sebagai salah sebuah daripada 17 negara terkaya dengan kepelbagaian bio (biodiversity) di muka bumi ini, kita bertanggungjawab memulihara dan menggunakannya secara lestari.

“Negara ini telah lama proaktif menangani isu-isu global semenjak Sidang Kemuncak Bumi (Earth Summit) lagi yang berlangsung pada tahun 1992,” terang beliau. – SM

(Visited 281 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button