Berita

Produk Ikan Sejuk Beku Dari China Mengandungi DNA Babi dan Ayam

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang menyita sebanyak 51.3 tan produk ikan sejuk beku dari China selepas ujian makmal mengesahkan kehadiran DNA babi dan ayam dalam produk terbabit, sekali gus bercanggah dengan deklarasi import yang dikemukakan.

Pemeriksaan dilakukan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) melibatkan produk yang diisytiharkan sebagai ‘frozen cuttlefish intestines’, ‘frozen cuttlefish balls’ dan ‘frozen cuttlefish tofu’. Bagaimanapun, hasil analisis makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia mendapati produk itu mengandungi bahan daripada haiwan lain yang tidak diisytiharkan secara rasmi.

“Pengesanan DNA babi dan ayam ini jelas menunjukkan pelanggaran serius terhadap syarat import dan dokumen yang dikemukakan,” kata MAQIS dalam kenyataan.

Konsainan yang dianggarkan bernilai lebih RM63,000 itu telah disita di bawah Seksyen 13 Akta MAQIS 2011 kerana kesalahan mengemukakan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan kepada pihak berkuasa.

Susulan itu, pengimport dikenakan kompaun dan semua barangan terlibat telah dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

MAQIS turut menegaskan bahawa tindakan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan keselamatan makanan dan pematuhan terhadap piawaian halal serta peraturan import, terutamanya produk yang menyentuh sensitiviti pengguna Muslim di Malaysia

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button