Nasional

3,695 mahasiswa mohon bantuan kewangan dari Maszlee

SEJUMLAH 3,695 mahasiswa memohon bantuan daripada bekas Menteri Pelajaran Dr. Maszlee Malik berikutan keputusan saat akhir Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membuat penangguhan kemasukan pelajar Institusi Pengajian Tinggi bulan ini.

Ahli Parlimen Simpang Rengam itu melancarkan tabuang bantuan semalam untuk membantu mahasiswa yang telah hadir di kampus masing-masing untuk melaporkan diri.

Maszlee berkata, sejumlah RM 43,998.29 telah disumbangkan oleh orang ramai melalui akaun Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan bagi tujuan tersebut.

“Insya-Allah 100 penerima kumpulan pertama akan kita usahakan untuk menerima bantuan pada hari ini juga. Ini akan kita maklumkan sekitar pukul 1 tengah hari nanti,” kata Maszlee.

Semalam Maszlee berkata, ramai mahasiswa telah menghubunginya  untuk memohon pelbagai bantuan.

Ini termasuk duit tambang tiket bas, keretapi, kapal terbang sehinggalah kepada duit bayaran semula penginapan hotel ibu bapa mereka yang ‘hangus terbakar’  berikutan keputusan mengejut KPT menangguhkan kemasukan pelajar IPT.

Atas semangat rakyat jaga rakyat, Maszlee melancarkan crowdfunding untuk mereka yang berkemampuan menyumbangkan dana untuk membantu mahasiswa terbabit.

Pada 24 September Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, kementerian tidak bercadang menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti atau kolej di seluruh negara yang dijadualkan pada bulan Oktober.

Noraini berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua universiti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi proses kemasukan itu.

“Saya percaya, semua universiti sedang menyiapkan SOP dalam menerima pendaftaran kemasukan pelajar yang akan tiba mulai bulan depan.

“KPT juga akan sentiasa menerima pandangan dan mendengar arahan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalau KKM mengatakan bahawa ditunda, kita akan mengikut arahan tetapi setakat ini belum ada,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada kemungkinan kemasukan pelajar ke IPT akan ditangguhkan berikutan peningkatan COVId-19 terutama di Sabah.

Bagaimanapun pada 27 September, KPT menyarankan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari zon merah secara bersemuka yang dijadual berlangsung pada Oktober.

Bagaimanapun semalam Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini.

KPT memaklumkan, keputusan itu dibuat demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

“Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pelajar yang sudah berada di kampus dan mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing dan pihak IPT diminta membantu segala keperluan pelajar ini.

Kementerian itu juga memberitahu, syarikat penerbangan sudah bersetuju untuk menjadualkan semula penerbangan pelajar terutama yang sudah membeli tiket untuk pulang ke kampus masing-masing sehingga 31 Disember ini, hasil rundingannya dengan syarikat penerbangan yang terbabit.

Kes COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak, dengan yang terbaharu semalam, mencatatkan kes harian tertinggi 287 jangkitan tempatan.-SM

 

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button