Sukan

Tourism Malaysia taja jersey polka dot raja bukit Jelajah Langkawi

Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTDL) 2023, hari ini  memperkenalkan Tourism Malaysia sebagai penaja jersi Raja Bukit atau King of the Mountain bagi perlumbaan
berbasikal itu yang bakal menyaksikan permulaan saingan di Kerteh, Terengganu pada 23 September ini.

Dengan tajaan sebanyak RM1 juta, kehadiran Tourism Malaysia yang mengangkat jenama “Malaysia Truly Asia”, bakal memeriahkan lagi perlumbaan berstatus ProSeries tersebut selama lapan hari sekali gus mempromosikan segmen pelancongan sukan negara.

Selain tajaan tunai, Tourism Malaysia turut membawakan persembahan kebudayaan tradisional di setiap lokasi pelepasan selain kemunculan pempengaruh media sosial di beberapa lokasi perlumbaan bagi mempromosikan LTdL secara lebih meluas khususnya di Indonesia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar, berkata, kolaborasi penajaan tersebut bukanlah suatu yang baharu kerana pihaknya telah turut sama mempromosikan LTdL sejak awal penganjurannya pada tahun 1996.

“Tourism Malaysia amat berbesar hati atas penghormatan yang diberikan oleh pihak penganjur kepada kami untuk menyarungkan jersi Raja Bukit di setiap lapan peringkat perlumbaan kepada pemenang.

“Keputusan penajaan ini diambil berdasarkan kepada keseluruhan pakej pulangan yang cukup lengkap, khas untuk mempromosikan jenama “Malaysia Truly Asia” ke seluruh dunia bagi menonjolkan keunikan kepelbagaian bangsa dan budaya sekali gus mempamerkan imej Malaysia sebagai salah sebuah destinasi pelancongan pilihan di rantau ini,” katanya.

Gelaran Raja Bukit sememangnya menjadi menjadi tumpuan dalam banyak perlumbaan besar seperti Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana, justeru menjadi pertaruhan pelumba untuk menyambar jersi berkenaan, khususnya melibatkan cabaran terbesar Peringkat 5 LTdL di Genting Highlands yang turut diiktiraf sebagai antara
pendakian sukar dalam perlumbaan berbasikal dunia.

Tumpuan peminat tempatan pastinya teralih kepada Muhammad Nur Aiman Zariff, pelumba negara mewakili Terengganu Polygon Cycling Team, yang sebelum ini menggunakan kebijaksanaannya untuk mengumpul mata di zon pendakian mudah selain berusaha menempatkan diri dalam kelompok terbaik ketika mengungguli Raja Bukit
dalam edisi LTdL 2020 dan 2022.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, dengan promosi siaran langsung di Eurosport dan televisyen tempatan serta platform perkongsian video YouTube dan TikTok, penajaan LTdL mampu memberikan pulangan yang berlipat kali ganda.

Selain itu, menerusi program promosi seperti konvoi Calvacade atau perarakan kereta serta acara sampingan yang membawa jenama Tourism Malaysia, beliau percaya rakyat tempatan juga akan terus memilih destinasi-destinasi percutian menarik di dalam negara.

Bertemakan “Beat The Heat”, LTdL 2023 dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Saingan Peringkat 1 akan bermula di Kerteh, Terengganu dan melewati 11 daripada 12 negeri di Semenanjung Malaysia sehingga ke Peringkat 8 yang akan berakhir di perkarangan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September ini.

Sebanyak 22 pasukan terdiri daripada dua pasukan berstatus WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Continental dan pasukan kebangsaan Malaysia, akan bertanding dalam perlumbaan kali ini. – SM

(Visited 20 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button