Rencah Hidup

Rayuan isteri pemancing mangsa bot terbalik di Perairan Kuala Kemasin tidak diendahkan

20 pemancing tercampak ke laut selepas bot dibadai ribut, 4 maut, 4 hilang

“SAYA sudah merayu kepadanya untuk tidak ke laut namun dia tetap berkeras untuk pergi juga,” kata Rosmaliza Rosdin, 42, isteri kepada seorang lelaki yang lemas selepas bot yang dinaiki 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak terbalik selepas dibadai ribut di Jeti Pengkalan Kuala Kemasin, Bachok, Kelantan, malam tadi.

Rosmaliza berkata, arwah suaminya, Mohd. Syafizan Daud, 43, sempat menghantar pesanan ringkas sekitar pukul 7.35 petang semalam selain turut memberitahu, akan pulang pagi ini.

“Dia ada beritahu akan bertolak pulang awal pagi ini dan menjangkakan akan tiba sekitar tengah hari hari ini.

“Namun saya tidak menyangka keterujaannya untuk memancing sejak seminggu lalu bersama rakan-rakannya, bertukar menjadi tragedi sehingga meragut nyawanya.

“Saya mengetahui kejadian bot terbalik ini sekitar awal pagi tadi melalui status WhatsApp kenalan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Rosmaliza yang juga seorang jururawat di Hospital Lati, Pasir Mas, Kelantan berkata, beliau tidak menyangka debaran sejak beberapa hari lepas juga seakan petanda awal beliau akan kehilangan suami buat selama-lamanya.

“Sejak beberapa hari lepas, saya sering kali berasa berdebar-debar sehingga terpaksa melakukan ujian kesihatan untuk mengetahui masalah yang dialami.

“Namun bersyukur semuanya baik. Walaupun masih terkejut dan berasa seolah-olah mimpi, saya redha menerima ketentuan Allah,” katanya.

Manakala, Wan Mohd Tajuddin Wan Hussin, 53, adik kepada Wan Aminuddin Wan Hussin, 63, yang turut terkorban dalam tragedi itu berkata, arwah abangnya sangat teruja untuk keluar memancing bersama rakan-rakan yang lain selepas sekian lama tidak memancing.

“Tiada perilaku aneh yang ditunjukkan oleh abang sulung yang juga bekas pegawai di sebuah bank , cuma dia hanya berpatah balik sebanyak dua kali kerana tertinggal telefon bimbit dan rokok.

“Arwah menetap bersama saya memandangkan tiga orang anaknya, masing-masing bekerja dan belajar di luar negeri. Walaupun berasa sedih, saya redha dengan pemergian arwah abang saya,” katanya.

GAMBAR GOOGLE/SINAR HARIAN

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali ketika dihubungi BERNAMA berkata, lapan daripada 12 individu yang terselamat dalam tragedi di perairan Kuala Kemasin, Bachok, malam tadi telah dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang.

Manakala yang lain masih dirawat dan kini berada di bawah pemantauan pihak hospital, katanya.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 8.00 malam tadi, empat daripada 20 pemancing termasuk tekong dan awak-awak  ditemukan lemas, empat lagi masih hilang manakala 12 disahkan selamat dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan antara 18 sehingga 60 tahun.

Mereka yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd. Syafizan Daud, 43, Muhamad Zaki Muhamad Nordin, 19, Wan Aminudin Wan Hussin, 60-an dan seorang warga Thailand yang hanya dikenali sebagai Pokta, 50-an.

Empat yang masih hilang ialah Arman Ismail, 43, Harun Daud, 60-an, Syafiq Abdul Halim, 30 dan Che Wadi Bakar, 40-an.

Dalam tragedy itu, bot nelayan yang dinaiki sekumpulan 20 pemancing dilaporkan telah dibadai ribut dan ombak kuat menyebabkan tali sauh terputus dan bot terbalik menyebabkan kesemua mangsa tercampak ke dalam laut. – SM

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button