Politik

PRN Sabah: Pairin berpendapat PBS perlu guna bendera sendiri

BEKAS Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berpendapat parti yang diasaskannya 35 tahun lepas sepatutnya menggunakan bendera mereka sendiri pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau berkata penggunaan logo PBS dalam pilihan raya itu dapat menarik maklum balas lebih positif daripada rakyat untuk menyokong calon PBS.

“Banyak orang masih sayangkan PBS. Semangat juang mereka dengan PBS masih kuat. Ia bukan parti yang tidak dikenali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pairin, yang juga bekas ketua menteri Sabah, ditanya oleh pemberita tentang pendapatnya berhubung keputusan PBS untuk menggunakan bendera sendiri, simbol berjabat tangan pada PRN buat julung kalinya dalam tempoh 16 tahun.

Beliau juga berharap PBS akan mempertahankan 13 kerusi yang dimenangi menggunakan tiket Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14, tetapi menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti ketika ini untuk bertanding di kerusi mana.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mengikut jejak langkah bekas ketua menteri yang lain seperti Tan Sri Chong Kah Kiat yang berhasrat bertanding dalam pilihan raya itu walaupun telah bersara, Pairin berkata: “Apa kena mengena (pesara politik menyatakan hasrat untuk bertanding) dengan saya?”

Katanya sejak beliau bersara daripada politik pada  2018, beliau memanfaatkannya untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga terutama cucunya dan belajar perkara baharu serta meningkatkan kemahirannya memandu.

Pairin, yang menyambut ulang tahun ke-80 pada 17 Ogos, juga mahu mengikut nasihat doktornya supaya menjaga kesihatan, khususnya mengamalkan normal baharu bagi membendung penularan COVID-19.

“Kita patut bersyukur kerana kita sentiasa diingatkan oleh pakar kesihatan kita tentang prosedur operasi standard bagi membendung penyebaran virus itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pairin, yang juga presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata KDCA tiada kaitan dengan kenyataan dibuat seorang daripada Timbalan Presidennya Datuk Ir John Anthony baru-baru ini kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan sokongannya kepada Parti Warisan Sabah pimpinan Mohd Shafie.

“KDCA mempunyai banyak ahli dan penyokong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik dan kepercayaan. Tetapi itu (kepercayaan politik) adalah bersifat peribadi kepada mereka,” tegasnya. – BERNAMA

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button