Politik

PRN Sabah: Jaminan tiada pengundi ‘hantu’

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyemak semua data termasuk daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Langkah demikian adalah bagi mengelakkan sebarang dakwaan terhadap kewujudan pengundi ‘hantu’ mengeksplotasi perjalanan pilihan raya pada hari esok.

Ini kerana maklumat individu yang diperoleh daripada JPN adalah data rasmi termasuk maklumat berkaitan umur dan juga pendaftaran kematian.

Ia merupakan sebahgian daripada persediaan daripada pihak SPR bagi menghadapi PRN Sabah yang bakal menyaksikan seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 orang mengundi di sana pada hari esok.

“Maknanya mereka terdiri dari warga Malaysia, jadi tidak timbul ada pengundi halimunan dan sebagainya.

“Data kita adalah data rasmi dengan semua mereka yang kita daftarkan adalah warganegara Malaysia.”

Demikian kata Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh selepas melihat persiapan di pusat penjumlahan rasmi undi N.26 Moyog di Pusat Kebudayaan Penampang, Sabah hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan kaedah pergerakan peti undi untuk di bawa ke pusat penjumlahan undi terutama bagi tempat mengundi di kawasan pedalaman.

Ini termasuklah kemungkinan menggunakan helikopter, bot atau pacuan empat roda bergantung kepada keadaan cuaca pada hari esok.

“Kita akan menggunakan sebanyak 20 unit helikopter bagi membawa peti undi ke kawasan-kawasan pedalaman di negeri itu.

“Antara kawasan terlibat ialah di Sekolah Kebangsaan Saliliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan dan Pulau Dinawan yang terletak di DUN Sulabayan.

“Sekiranya cuaca tidak mengizinkan untuk helikopter bergerak, kita akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau bot bagi memastikan semua peralatan pilihan raya sampai ke lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani turut menyasarkan keputusan penuh diperoleh pada pukul 10 malam.

Bagaimanapun, katanya kecepatan proses undian itu tetap bergantung kepada Pegawai Pengurusan (RO) di kawasan masing-masing.

“Kalau boleh jam 10 malam sudah ada keputusan penuh tapi bergantung kepada kesemua RO.

“Kalau awal dapat kita maklumat, keputusan dapat kita maklumkan dengan awal,” ujarnya.

Terdahulu SPR menetapkan tarikh pilihan raya bagi PRN Sabah adalah pada 26 September selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membubarkan DUN pada 30 Julai lalu. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button