fbpx
Politik

PRN Sabah: Isi borang, buat semakan pencalonan sebelum 12 September

Bawa surat kebenaran guna logo parti, bayar deposit awal

SEBELUM tarikh 12 September ini, semua bakal calon yang berhasrat ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah dinasihatkan supaya membuat semakan awal dan mengisi borang pencalonan.

Perlu diingatkan buat kesekian kalinya, mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang pencalonan perlu dilakukan sebelum hari penamaan calon yang jatuh pada 12 September, Sabtu ini.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, semakan boleh dibuat dengan pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Sabah.

“Phari penamaan calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula pada pukul 9.00 hingga 10.00 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di 73 bahagian pilihan raya oleh calon, pencadang dan penyokong; mana-mana dua orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran perlu dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ikmalrudin berkata, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon sahaja yang dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, tegas Ikmalrudin.

Beliau menambah, sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong-penyokong calon yang bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Patuhilah segala arahan dan SOP yang telah ditetapkan untuk kelancaran pada hari penamaan calon,” katanya. – SM

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button