Hiburan

Janna Nick hilang akaun IG dengan pengikut 6 juta, jangan cari pasal dengan peminat K-Pop!

PAGI tadi kecoh dalam industri hiburan berkaitan dengan seorang pelakon iaitu Janna Nick yang telah diserang oleh peminat K-Pop gara-gara status didakwa berbaur hinaan terhadap selebriti Korea Selatan.

Perkara tersebut menjadi serius sehinggakan ada gerakan yang melakukan ‘report’ terhadap akaun rasmi Janna Nick.

Kesudahannya, akaun Instagram dengan jumlah ‘follower’ sebanyak 6 juta telah disekat dan tidak lagi boleh diakses oleh pelakon tersebut.

Apatah lagi dengan media sosial sebagai satu daripada platform untuk mencari rezeki, pasti kehilangan IG tersebut sangat dirasai oleh Janna.

Perkara pergaduhan melibatkan K-Pop ini bukan baru dalam industri hiburan tempatan yang masih kecil ini.

Beberapa selebriti tempatan lain seperti Tiz Zaqyah antara yang pernah berhadapan dengan situasi sama apabila mendapat kecaman daripada peminat BTS (yang menggelarkan diri mereka sebagai ARMY).

Tiz dikecam hanya kerana mendakwa lirik lagu Dynamite seperti sebuah lagu untuk kanak-kanak.

Bukan sahaja selebriti, pendakwah bebas seperti Pencetus Ummah (PU) Syed juga pernah dikecam kerana melabelkan BTS sebagai syaitan.

Apa lagi, selepas itu menderulah komen yang mempertikai kenyataan PU Syed itu.

Malah, penyanyi antarabangsa yang juga anggota kumpulan One Direction pernah dikecam ARMY hanya kerana memberi teguran ikhlas kepada BTS.

Dalam teguran itu, Liam memberitahu yang BTS akan jadi terlalu penat kerana tarian yang mereka lakukan. Malah, One Direction pun tidak membuat tarian seberat BTS.

Apa jadi selepas itu? Ya, anda betul. Payne telah diserang oleh ARMY kerana nasihat tersebut.

Antara komen ARMY ialah Payne belum cukup ‘otai’ untuk memberi nasihat kepada BTS.

Begitulah peminat kumpulan K-pop. Baik melibatkan kumpulan lelaki seperti BTS mahupun wanita seperti Blackpink, ketaksuban mereka kadang-kadang diluar jangkaan.

Tetapi jangan ingat peminat K-Pop hanya benci selebriti atau individu yang meluahkan rasa tak puas hati pada penyanyi kesayangan mereka.

Kalau artis K-Pop itu sendiri tidak melayan peminat dengan baik, maka bersiap sedialah untuk dikecam secara berjemaah.

Kumpulan K-Pop Seventeen pernah dikecam kerana membuang surat yang dihantar peminat mereka sehingga memaksa agensi mengeluarkan kenyataan maaf secara rasmi.

Begitu juga dengan V daripada kumpulan BTS yang dikecam kerana bersikap kurang ajar terhadap seorang daripada ARMY dengan menarik rambutnya dalam satu sesi tandatangan bersama peminat.

Mujur peminat tersebut tampil mengeluarkan kenyataan yang dia ok dengan apa yang dilakukan V. Maka terselamatlah V daripada terus dikecam.

Itu sebahagian daripada kuasa yang dipunyai oleh peminat K-Pop. Sesiapa sahaja yang mencari pasal, maka bersedialah untuk menerima hukuman.

Ketaksuban ini bukan melibatkan peminat tempatan sahaja. Malah, di seluruh dunia juga mempunyai ketaksuban yang sama.

Di muka bumi yang sungguh besar ini, ada banyak perbezaan baik daripada minat mahupun pendapat.

Oleh itu kita raikanlah perbezaan pendapat. Janganlah hanya kerana menyampah dengan K-Pop, kita terus menghentam mereka sesuka hati.

Begitu juga dengan peminat K-Pop. Bukan semua daripada mereka begitu taksub. Ada yang sentiasa bersikap terbuka dan mereka inilah yang perlu mengawal rakan-rakan yang taksub.

Peminat K-Pop boleh menyerang pembenci K-Pop dan selebriti K-Pop, jadi, masih beranikah kita nak berlawan dengan mereka? -SM

(Visited 1,294 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button