fbpx
Politik

PRN Sabah: Agihan kerusi PN selesai dalam tempoh 2 minggu

BARISAN NASIONAL serta rakan dalam Perikatan Nasional akan berbincang mengenai agihan kerusi yang bakal mereka tading dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pihaknya akan mengadakan rundingan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional dalam masa terdekat.

Perbincangan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR terhadap pembahagian semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dijangka selesai dalam tempoh dua minggu.

“Hari ini, kita memutuskan UMNO Sabah, BN..kita akan bertanding di 73 kerusi melawan (Parti) Warisan (Sabah). Ini bermakna, UMNO Sabah akan berunding dengan yang lain dalam sehari dua ini dengan rakan-rakan kita yang tidak pro dengan Warisan.

“Ini penting sebab kita ingin memastikan kemenangan dalam pilihan raya (negeri) akan datang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Biro Perhubungan UMNO di ibu pejabat UMNO negeri hari ini.


Sementara itu menurut beliau, UMNO Sabah kini sedang dalam proses mengenal pasti calon bagi mewakili parti itu dan akan menampil antara 85 hingga 90 peratus calon muka baharu pada PRN kali ini.

Memetik laporan Bernama, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah berhasrat untuk bertanding di lebih 32 kerusi DUN berbanding yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bung Moktar yang turut mengesahkan akan bertanding di DUN Lamag, iaitu satu daripada DUN baharu diwujudkan di Sabah, berkata PRN kali ini, amat luar biasa bagi semua parti.

“Bagaimanapun, apa yang penting, kita (UMNO) harus meyakinkan pengundi dan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar, anak-anak muda (bahawa) kali ini pilihan raya dalam normal baharu, sudah tentu rakyat tunggu tawaran baharu yang boleh ditunaikan”.

“UMNO Sabah akan memberi tawaran baharu (pada PRN ini) bagi menjamin kestabilan, keselamatan dan pembangunan ekonomi untuk rakyat,” katanya.

PRN Sabah akan diadakan tempoh 60 hari susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Khamis (30 Julai) selepas mendapat perakuan daripada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Show More

Related Articles

Back to top button