Ekonomi

Bank Rakyat rangkul Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021

Kategori ‘Syarikat Terbaik Tahunan Bagi Kecemerlangan dalam Pemerkasaan Sosial’

BANK RAKYAT berjaya merangkul anugerah kategori ‘Syarikat Terbaik Tahunan bagi Kecemerlangan dalam Pemerkasaan Sosial’ di Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.

Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021 diadakan bertujuan untuk memberi penghargaan kepada organisasi di Malaysia yang cemerlang dalam arena kemampanan dan tanggungjawab sosial korporat.

Anugerah ‘Syarikat Terbaik Tahunan bagi Kecemerlangan dalam Pemerkasaan Sosial’ itu disampaikan oleh, Ketua Pegawai Eksekutif RHA Media, Dato’ R. Rajendran dan Editor Urusan CSR Malaysia, Lee Seng Chee kepada Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan di Kuala Lumpur.

Menurut Dato’ Syed Abdul Aziz, pihaknya menghargai pengiktirafan daripada CSR Malaysia 2021 yang melihat hasil positif terhadap pelaksanaan inisiatif jangkauan komuniti Bank Rakyat seperti program Nuri Nutrisi yang dilancarkan sejak 2019. Program yang bertujuan untuk mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat ini dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan status nutrisi pelajar B40, di samping menjaga keperluan masyarakat yang memerlukan.

Sepanjang tempoh hampir tiga tahun pelaksanaannya, sebanyak 60 sekolah, 15 universiti dan 20,000 penerima mendapat manfaat daripada program Nuri Nutrisi tersebut.

“Kebun Nuri Nutrisi yang merupakan salah satu program di bawah program Nuri Nutrisi ini memberi peluang kepada pelajar dan sekolah menguruskan tanaman sayuran dan buah-buahan yang hasilnya dapat dituai untuk dijual dan dijadikan sumber makanan bernutrisi secara berterusan oleh pelajar B40. Program ini juga secara tidak langsung dapat memberi pendedahan tentang asas perniagaan pertanian dan keusahawanan kepada pelajar,” katanya lagi.

Bank Rakyat turut menyemarakkan inisiatif jangkauan komunitinya dengan menumpukan kepada usahawan yang memerlukan sokongan dan bantuan seperti RAKYATpreneur dan Program Rintis UNIpreneur, sekali gus membantu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam membantu golongan sasarnya.

“Menerusi RAKYATpreneur, 200 usahawan yang berpotensi dibantu melalui penyediaan dana perniagaan termasuk modul latihan dan bimbingan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan mereka. Manakala, Program Rintis UNIpreneur dengan kerjasama 10 institusi pengajian tinggi (IPT) diperkenalkan khusus untuk membantu 100 usahawan siswa mengembangkan perniagaan mereka. Kesemua peserta tersebut merupakan usahawan asnaf.

“Kami berhasrat membantu mereka untuk menjana lebih banyak pendapatan bagi menggalakkan ekonomi yang mampan, seterusnya membawa kepada peningkatan taraf hidup masyarakat,” ujar Dato’ Syed Abdul Aziz.

Tambah beliau, penghargaan terhadap usaha Bank Rakyat ini menjadi penyuntik semangat kepada Bank berkenaan untuk merancang lebih banyak lagi inisiatif jangkauan komunitinya pada masa akan datang untuk meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti masyarakat yang memerlukan seiring dengan semangat serta aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

Anugerah ini merupakan anugerah kedua pada tahun ini yang diterima Bank berkenaan bagi insiatif CSR selepas meraih anugerah ‘Kecemerlangan dalam CSR’ pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2021 (BBEA 2021) baru-baru ini. – SM

(Visited 576 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button