Nasional

MB Selangor beri peluang terakhir kepada kilang haram

KERAJAAN Negeri Selangor memberi peluang kepada pemilik tanah kilang-kilang haram yang wujud di negeri itu untuk membuat permohonan kebenaran beroperasi.

Peluang tersebut sepatutnya berakhir pada 2018 namun dilanjutkan sehingga akhir 2020 bagi memberi peluang kepada pemilik kilang menjalani proses pemutihan.

Sekiranya masih gagal berbuat demikian, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan terus terhadap kilang terbabit termasuk merobohkan struktur bangunan.

Khusunya kepada kilang yang menyebabkan pencemaran alam sekitar.

“Kami sudah beri tawaran untuk mereka pulihkan sejak tahun 2008 lagi.

“Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terakhir pada 2018 memutuskan agar tindakan itu dipanjangkan sehingga 2020.

“Lepas 2020 kami akan ambil tindakan perobohan dan sebagainya.

“Tetapi kalau keadaan mendesak dan saya rasa kami boleh laksanakan lebih pantas menjelang bulan November atau Disember ini.

“Ataupun awal tahun depan kami sendiri akan laksanakan secara menyeluruh proses pemutihan tersebut.”

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Pengisytiharan sempena Menjunjung Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Bagi Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Dalam pada itu, beliau juga mengambil maklum titah Sultan Sharafuddin supaya mengambil beberapa tindakan berikutan kekerapan gangguan bekalan air.

Menurut baginda, sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.

Oleh demikian, Amirudin memaklumkan beliau sendiri akan mempengerusikan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor.

“Dalam bab ini saya sendiri akan ketuai jawatankuasa itu dalam masa terdekat.

“Kali ini kami akan gabungkan teknologi pemantauan sungai seiring dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai agensi pemantauan sumber air.

““Kami juga akan melaksanakan usaha membersihkan kawasan sungai, pengosongan rezab-rezab sungai yang dibangunkan oleh infrastruktur dan bangunan yang tidak mendapat kebenaran.

“Kami memang lakukan cuma kali ini atas titah baginda.

“Semua pihak dan jabatan malah rakyat juga harus dilibatkan dalam proses pemeliharaan dan pemuliharaan sumber bekalan air kita,” jelasnya.

Terdahulu sebuah kilang haram diarah dirobohkan serta merta apabila menyebabkan pencemaran di Sungai Gong.

Pencemaran kepada sumber air mentah itu menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor dihentikan operasi.

Tindakan itu mengakibatkan 1,292 kawasan sekitar Lembah Klang terputus bekalan air pada Jumaat lalu. – SM

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button