Politik

PRN Melaka: Ramai pengundi masih belum buat keputusan pilih calon, parti

MASIH terlalu awal untuk menentukan parti mana yang menang, dan parti mana yang akan menerajui kerajaan negeri Melaka hujung bulan ini.

Rata-rata pengundi yang ditemui masih lagi belum membuat keputusan siapa dan parti mana yang akan mereka pilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Tempoh pemerintahan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional yang pendek di Melaka, serta percanggahan antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional membuatkan pengundi berhati-hati dalam membuat keputusan.

Norzaimi Mohd Hassan

Menurut seorang pengundi, Norzaimi Mohd. Hassan, 40, dia sukar membuat keputusan kerana parti politik yang bertanding saling berebut kuasa.

“Saya tengah fikir lagi kerana ini kerajaan baru tetapi sudah dibubarkan dan kena turun pangkat. Turun naik, turun naik macam gila kuasa pula sebab berebut-rebut,” ujarnya.


 

Abdul Ghafar A. Hamid

Abdul Ghafar A. Hamid, 63 akan menggunakan tempoh dua minggu ini untuk melihat calon mana yang layak untuk di pilih.

Bagaimanapun dia akan memberikan peluang kepada calon muda untuk menjadi wakil rakyat.

“Bagi saya perkara ini sensitif, jadi saya akan guna tempoh kempen ini untuk selidik calon mana yang sesuai untuk saya undi bagi kebaikan negeri Melaka.

“Pada pendapat peribadi, saya tidak kisah dengan calon-calon muda kerana mereka mempunyai fikiran tinggi manakala calon tua pula asyik tersangkut pada cara pemikiran di takuk lama.

“Saya rasa tidak ada masalah untuk buat PRN pada masa sekarang asalkan dapat mematuhi SOP dengan baik,” katanya.

Mohd Omar Farroq Ahmad

Menurut seorang lagi pengundi, Mohd Omar Farroq Ahmad, 48, dia mahu calon yang di undi dapat menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan baik.

“Saya sudah mempunyai calon untuk di undi dan saya mahu calon tersebut dapat menjaga kebajikan masyarakat dan tidak ada yang kurang. Itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengundi iaitu Kamisah Kamil, 49, juga menyatakan ingin berfikir dahulu calon mana yang dia mahu undi dan akan memilih calon yang boleh membantu orang kampung.

Kamisah Kamil

“Saya masih lagi berfikir dan kalau boleh calon yang saya mahu pilih itu dapat selalu membantu orang-orang di kampung kerana mereka banyak terjejas akibat pandemik Covid-19,” ucapnya.

Seorang lagi pengundi, Shahrul Abdullah, 43, berharap PRN dapat dilakukan mengikut SOP supaya tiada lagi kenaikan kes Covid-19

 

Shahrul Abdullah

“Sila patuhi SOP dan ikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dalam tempoh dua minggu ini, 112 calon yang bertanding perlu menampilkan personaliti yang positif.

Ini kerana kredibiliti mereka akan dinilai oleh rakyat dan pengundi di Melaka untuk dipilih bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu. – SM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button