Nasional

Tidak rela dihina lagi sambut Aidilfitri

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 21 April – Dulu anaknya pernah dihina rakan sekolah kerana mendiami rumah satu bilik yang sempit di
Kampung Seri Duyong, dekat sini.

Bukan setakat dihina malah anaknya juga malu untuk mempelawa rakan mereka ke rumah sempena sambutan
Aidilfitri.

Itu adalah antara pengalaman pahit buat Rohani Jalil, 50, dan suaminya, Mohammad Ninggal, 54, hanya kerana
mereka bersama lima anak berusia antara 10 hingga 25 tahun mendiami rumah berkenaan.

Namun hari ini terpancar wajah ceria di wajah pasangan suami isteri itu apabila mendapat sebuah rumah
baharu yang cukup selesa untuk mereka diami serta menyambut Aidilfitri tidak lama lagi

Dia melahirkan rasa syukur menerima sebuah rumah dua bilik menerusi Program Rumah Prihatin salah satu
inisiatif kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Kampung Seri Duyong dekat sini hari ini.

Rahmad Mariman (dua dari kanan) berbual dengan Rohani Jalil (empat dari kiri) selepas menerima Rumah Prihatin di Kampung Seri Duyong, Melaka.

“Alhamdulillah, impian saya sekeluarga untuk memiliki rumah sendiri yang cukup selesa menjadi kenyataan.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling bermakna buat kami sekeluarga.

“Dulu rumah kami sangat sempit dengan lima orang anak berusia antara 10 hingga 25 tahun malah anak saya
juga pernah dihina rakan mereka kerana hidup berhimpit.

“Saya terharu menerima rumah ini dan ia sangat bermakna kerana kami dapat berteduh di kediaman sendiri
sejak awal Ramadan lalu serta menyambut Aidilfitri dengan selesa nanti,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan kunci Rumah Prihatin yang telah
disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan
Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengarah JKR, Datuk
Ir. Ismail Abd. Rahman.

Rohani berkata, dia tidak menyangka permohonannya untuk menerima Rumah Prihatin menjadi kenyataan selepas
memohon pada 2019.

Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri kerana mereka hanya mampu
mendiami rumah peninggalan keluarga suaminya yang sangat sempit serta tidak lagi sesuai untuk mereka
sekeluarga.

Jelasnya, mereka tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana pendapatan suaminya, Mohammad Ninggal, 54, yang
bekerja sebagai pembantu landskap di Kelab Golf & Country Ayer Keroh (AKCC) dengan berpendapatan RM1,300
sebulan.

“Syukur, saya nak ucap terima kasih kepada kerajaan negeri dan JKR yang memberikan rumah berharga RM30,000
secara percuma untuk kami sekeluarga berteduh di rumah yang cukup selesa,” ujarnya.

habis…./

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button