Politik

PRN Johor: PN bakal menang besar

Ulangi kejayaan di PRN Sabah

Perikatan Nasional (PN) hari ini menzahirkan keyakinan mereka untuk menang besar dalam PRN Johor, mengulangi kejayaan yang dikecapi mereka dalam PRN Sabah dua tahun lalu.

Pengarah PRN PN Johor, Hamzah Zainudin, menyandarkan keyakinan itu pada “sambutan luar biasa” terhadap program yang dihadirinya hari ini, sekali gus memberikan bayangan bahawa Umno patut takut dengan sambutan yang diterima PN.

“Rakyat akan bersama-sama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.

“Bukan hanya di Johor, bahkan PN akan bangkit untuk tentukan masa depan rakyat di negeri ini.

“Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika Umno tak takut saya tak tahulah,” katanya dipetik Sinar Harian ketika berucap dalam Program Kotak Prihatin kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Bandar Baru Uda hari ini.

Setiausaha Agung Bersatu itu berkata, ada pihak yang galak mengkritik PN dan parti komponennya, sedangkan merekalah yang sebenarnya mendatangkan masalah di Johor.

Tambah menteri dalam negeri itu, jika sebelum ini PN tunduk dan diam, kini sudah sampai masa untuk mereka bangkit dan memberi tentangan habis-habisan kepada pihak yang disifatkannya sombong dan tamak kuasa.

“Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN,” katanya yang juga ahli parlimen Larut.

Untuk rekod, meskipun Hamzah menjadikan PRN Sabah contoh kemenangan besar yang wajar ‘menggerunkan Umno’, PN masih perlu mendapat sokongan daripada Umno-BN untuk menguasai majoriti DUN negeri itu.

Umno-BN dan PN pula bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam PRN Sabah, GRS – terdiri daripada PN, Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) – mendapat 38 kerusi menewaskan Warisan Plus dengan 32 kerusi – terdiri daripada Warisan, PKR dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).

Daripada jumlah itu, PN meraih 17 kerusi berbanding 14 yang diraih Umno-BN, iaitu lebih tiga kerusi, sebagai sekutu dalam GRS.

PN (gabungan Bersatu, PAS dan parti lain) serta Umno-BN juga merupakan komponen kerajaan Keluarga Malaysia di peringkat persekutuan, namun pergeseran berlarutan menyebabkan mereka mengambil haluan berbeza dan bakal bertembung pada PRN Johor, seperti yang turut berlaku pada PRN Melaka.

“Kalau rakyat mahukan pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN.

“Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan parti,” ujar Hamzah lagi.

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button