Nasional

TEMCO: Jangan cepat sebar berita tidak sahih – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar rakyat tidak perlu membuat sebarang sebaran tanpa melalui sumber yang sah yang boleh menimbulkan suasana panik di dalam masyarakat terutamanya yang melibatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (TEMCO).

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke 13 Bagi Tahun 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Masjid Al-Abrar Kubang Gajah, Arau.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, semua pihak harus sentiasa rasional dan sentiasa menerima maklumat dari sumber yang benar-benar sahih sahaja khususnya berkaitan penularan pandemik Covid-19 terutamanya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tuanku Raja Muda juga menegur sikap ‘gemar’ menyebar maklumat tidak sahih oleh individu pasti menimbulkan suasana panik, gusar dan bimbang di kalangan masyarakat dan menganggu perancangan serta tugas-tugas pihak ‘frontliners’ dalam memerangi isu ini dengan sebaik mungkin.

“Bila terlalu banyak khabar angin ia menjadi satu bebanan tambahan kepada Kerajaan bagi meredakan kegemparan dan akan mengganggu proses pengawalan dan saringan kepada mereka yang benar-benar perlu dirawat. Apa yang perlu ditumpukan adalah memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan selain turut membantu penduduk yang berkemungkinan terjejas ekoran pelaksanaan TEMCO”, titah baginda.

Amat tidak wajar meviralkan dan memburukkan mereka yang dijangkiti atau pembawa virus Covid-19 kerana mereka telah terbeban dan menderita menanggungnya.

Dalam perkembangan yang sama, MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) telah melaksanakan agihan sekitar 300 pek bantuan makanan kepada para penduduk terjejas susulan pelaksanaan TEMCO di kawasan Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.

Agihan berkenaan yang turut melibatkan para sukarelawan daripada Pertubuhan Komuniti Sukarelawan Negeri Perlis (PVAC) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menyalurkan bantuan berkenaan yang dipusatkan di Klinik Kesihatan Sanglang manakala agihannya pula akan dilaksanakan dari rumah ke rumah oleh para petugas kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkata, bantuan berkenaan adalah hasil daripada sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada pelbagai pihak yang prihatin melalui MAIPs yang mensasarkan sumbangan kepada para penduduk yang terjejas.

Untuk rekod, pada awal pagi jumaat yang lalu, MAIPs melalui titah perutusan Tuanku Yang DiPertuanya telah mengambil tindakan proaktif dengan mengumumkan penangguhan solat jumaat dan aktiviti pengimarahan di 12 buah masjid dalam seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang serta sebahagian DUN Simpang Empat dan Guar Sanji sebagai usaha awal menyekat penularan wabak Covid-19 ekoran 10 kes positif baharu di kawasan berkenaan.

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button