Politik

PRK Tanjung Piai penentu masa depan Melayu

KEMUNGKINAN kedua-dua parti Melayu, Bersatu dan UMNO meletakkan calon masing-masing bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK)  Parlimen Tanjung Piai nampaknya semakin jelas.

Ini mengambil kira kenyataan terkini ketua-ketua parti iaitu Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam masa sama, tidak dapat dinafikan akan muncul juga calon-calon lain yang merasakan mereka mempunyai kelebihan di kerusi tersebut.

Apapun, melihat kepada perkembangan semasa mutakhir ini, ada dalam kalangan penganalisis politik tanah air menyimpulkan tumpuan adalah kepada parti yang menampilkan calon Melayu.

Ini kerana banyak isu yang boleh dibangkitkan. Dan isu-isu ini tentunya akan menarik perhatian pengundi dalam kalangan orang Melayu yang amat dahagakan penjelasan secara langsung.

Jika selama ini berita-berita tentang sikap kurang ajar seorang pelajar Cina Universiti Malaya yang telah ‘memalukan’ Naib Canselornya pada hari penyampaian ijazah hanya dibaca dalam portal-portal berita, kini mereka berpeluang mendengar penjelasan apa yang berlaku secara langsung.

Begitu juga isu LTTE, pengedaran komik yang ‘menghina’ orang Melayu dan Islam ke sekolah-sekolah di Pulau Pinang dan sebagainya.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dikosongkan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Mohd. Farid Md. Rafik daripada parti Bersatu. Allahyarham juga adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dikhabarkan sebagai pemimpin yang disenangi penduduk.

Mohd. Farid yang mewakili Pakatan Harapan (PH)  berjaya mencipta kemenangan merampas kerusi tersebut daripada BN dengan majoriti tipis 524 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Jumlah pengundi berdaftar bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai adalah seramai 53,528 orang iaitu  Melayu 52.11 peratus, Cina 46.5 peratus, India 1.08 peratus dan selebihnya lain-lain kaum.

Peratusan pengundi Melayu dan bukan Melayu adalah hampir seimbang dalam kawasan ini.

Jika pada PRU Ke-11 (2004), kerusi ini masih dikatakan sebagai kubu kuat BN berikutan calon parti komponen, MCA memenangi kawasan itu dengan majoriti besar lebih 23,000 undi, namun sokongan terhadap parti itu menurun sedikit demi sedikit sebelum akhirnya tumpas.

Peningkatan sokongan kepada DAP berikutan propaganda  yang dilemparkan berkaitan layanan kerajaan terhadap kaum bukan Melayu selain kurangnya kesedaran orang Melayu sendiri khususnya anak-anak muda untuk mengundi.

Walaupun sokongan terhadap BN meningkat semula pada PRU Ke-13 apabila calon MCA mendapat  25,038 undi, tetapi sokongan DAP juga meningkat kepada 19,581 undi iaitu lebih 8,650 undi  daripada diperolehi pada PRU Ke-12.

Ironinya, walaupun DAP bekerja keras untuk merampas kerusi itu, mereka tetap gagal sehinggalah Dr. Mahathir yang juga bekas PM, bertindak sebagai ‘ketua’ pembangkang.

Maka, pada PRU Ke-14, di kala BN masih menaruh harapan kepada MCA, pembangkang mengubah taktik dengan meletakkan Mohd. Farid daripada Bersatu mewakili PH (calon-calon PH bertanding menggunakan tiket PKR).

Hasilnya, sokongan ke atas BN terus merosot dengan kehilangan 4,307 undi, sekali gus melayakan Mohd. Farid menang apabila  memperoleh 21,255 undi iaitu peningkatan 1,674 undi berbanding diterima DAP pada PRU Ke-13.

Antara faktor kemenangan calon Bersatu adalah disebabkan peralihan sokongan pengundi kepada PH berikutan kelemahan kepemimpinan BN selain pengaruh Dr. Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Pekan Nanas dan Kukup.

Berdasarkan pola pengundian bagi kedua-dua DUN tersebut sejak PRU Ke-11 menunjukkan BN mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu sebelum sebahagiannya menukar haluan dengan memilih calon dipertaruhkan Bersatu.

Statistik juga menunjukkan, calon MCA berjaya mengekalkan sokongan sekitar 20,000 undi sejak kerusi Parlimen Tanjung Piai dipertandingkan.

Secara ringkas, corak pengundian menyaksikan  BN menerusi MCA berjaya meraih hampir 70 peratus sokongan pengundi Melayu dan hanya kira-kira 40 peratus sokongan pengundi Cina.

Seperti di kebanyakan kawasan lain, walaupun peratusan pengundi Melayu dan Cina adalah hampir sama, sokongan pengundi  Melayu merupakan asas kepada kekuatan calon BN.

Ini dikatakan mendorong UMNO untuk mempertaruhkan calonnya tetapi kurang dipersetujui MCA. Bagi PH, tiada masalah menyerahkan kerusi itu kepada Bersatu berdasarksn rekod kemenangan lalu.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Kassim Thukiman, faktor calon penting bagi memastikan kemenangan di kawasan pinggir bandar seperti Tanjung Piai.

Dalam hubungan ini, jika MCA masih berdegil untuk menurunkan calon atas tiket sendiri, dibimbangi undi Melayu kepada Bersatu atau UMNO akan terbahagi dua. Sedangkan  kemungkinan undi Cina diberi kepada MCA.

Jika ini berlaku, dikhuatiri suara orang Melayu di dalam Parlimen akan terus mengecil.

Tanjung Piai yang terletak di penghujung benua Asia ini merupakan pilihan raya kecil keempat yang diadakan dalam tahun ini selepas Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Bagi pengundi, Tanjung Piai muncul di tengah-tengah kekalutan isu perkauman yang dilihat gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan PH.

Ahli-ahli politik yang turun berkempen tentunya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk menguatkan hujah masing-masing.

Apa yang diharapkan pertembungan ini (Bersatu – UMNO) sekiranya berlaku, tidak akan menyebabkan orang Melayu diumpamakan  seperti ‘menang jadi arang, kalah jadi abu.’

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button